Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR – Wanita MCA menyokong tindakan menuntut semakan keputusan mahkamah yang mengenakan jaminan ke atas tertuduh dalam kes membabitkan seorang wanita hamil yang dipukul sehingga koma oleh suaminya sendiri baru-baru ini.

Sokongan itu selari dengan tuntutan yang dibuat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan harap ia dapat dipertimbangkan, kata ketuanya, Datuk Heng Seai Kie.

Menurutnya, jaminan rendah (dari RM30,000 kepada RM7,000 dengan dua penjamin kepada tertuduh amat tidak adil kepada mangsa, keluarga mangsa serta semua kaum wanita.

“Ianya juga memberi mesej yang salah kepada orang awam, seolah-olah kes-kes penderaan dibiarkan berleluasa. Walaupun pemangsa ditangkap, mereka dilepaskan semula dengan jaminan yang sangat rendah berbanding kecederaan mangsa.

“Wanita MCA tetap akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan seluruh warga wanita Malaysia. Wanita perlu dilindungi dan disayangi, bukannya dikasari dengan kejam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Wanita MCA, kata Seai Kie sedia membantu mangsa atau keluarganya sekiranya mereka memerlukan khidmat nasihat guaman untuk menuntut pembelaan. Pusat Khidmat Nasihat Guaman dan Bantuan Wanita (LAWA) boleh dihubungi melalui talian : 016 4120127 untuk sebarang maklumat terperinci.- MalaysiaGazette