Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Setakat 11 Jun 2021, jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh peserta perusahaan kecil dan sederhana adalah sebanyak RM12.14 bilion.

Jumlah itu termasuk dana Special Relief Facility (SRF), Automation & Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF) yang memberi manfaat kepada 25,711 PKS.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS.

Menerusi Laporan Laksana Ke-58, beliau menambah, setakat 11 Jun, terdapat 669 permohonan bagi pembiayaan sektor pelancongan Penjana dan daripada jumlah ini sebanyak 331 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM65.9 juta.

Manakala setakat 11 Jun, RM67.7 juta telah disalurkan kepada 13,870 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC).

Dalam pada itu, bagi tempoh yang sama, sebanyak RM161.46 juta telah disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agroban kini bagi memanfaatkan 13,229 PKS Mikro pertanian.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta di bawah skim ini, RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

Bagi Inisiatif Pemulihan CENDANA untuk sektor seni, budaya dan hiburan pula, setakat 11 Jun, sebanyak RM3.98 juta telah disalurkan kepada 518 penerima.

Katanya, penggiat industri kreatif adalah disaran untuk menggunakan peluang kemudahan yang disediakan dan boleh memohon bantuan dari kedua agensi berkaitan dengan melayari www.mycreative.com.my/penjana dan www.cendana.com.my untuk maklumat lanjut.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk sokongan sektor seni, budaya dan hiburanyang dijangka memanfaatkan 3,000 penerima.

Penerima akan menerima saiz geran yang berbeza bergantung kepada permohonan dan program yang disasarkan.

Bagi elaun khas barisan hadapan,setakat 11 Jun, sebanyak RM791.13 juta telah disalurkan berdasarkan 2,211,424 tuntutan daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19.

Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette