Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Mohd Faizal Jaafar

KUANTAN – Dakwaan mengatakan para peniaga di Kompleks Dagangan Mahkota di sini telah menerima notis kenaikan sebanyak 70 hingga 100 peratus tidak benar.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Mohd Faizal Jaafar berkata, sebaliknya kadar sewa yang ditawarkan adalah kadar asal setelah penjanjian pengurangan sewa telah tamat.

“Kadar sewa tidak dinaikkan sama sekali kerana kadar sewa yang ditawarkan sekarang adalah kadar sewa asal yakni setelah perjanjian pengurangan sewa tamat.

“Kompleks ini menyediakan 106 unit premis sewa yang ditawarkan pada kadar sewaan RM150 hingga RM2,400 sebulan berdasarkan kepada keluasan lot bermula pada seawal tahun 2008.

“Kadar sewa yang ditawarkan sememangnya rendah berbanding harga sewaan premis komersial di mana PKNP telah memberikan diskaun kepada penyewa sebanyak 50 peratus selama enam tahun sehingga tahun 2015,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Facebook dari akaun Koi Pahang bertarikh 23 Jun lalu mengenai kenaikan kadar sewa di kompleks berkenaan.

Menurut Mohd Faizal, ia selaras dengan matlamat PKNP untuk membantu usahawan bumiputera, kadar diskaun ini telah dikurangkan lagi kepada 30 peratus mejadikan penyewa menikmati kadar sewa lebih rendah selama 10 tahun.

Dalam pada itu, kesemua unit premis telah disewakan sepenuhnya namun PKNP masih mempunyai senarai menunggu usahawan yang agak ramai yang berminat menyewa di premis berkenaan.

“Sepanjang pandemik Covid -19 melanda negara pada tahun 2020, pihak Kerajaan Negeri Pahang untuk meringankan beban rakyat khususnya kepada kepada para penyewa.

“Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam tempoh tersebut menerusi PKNP telah melaksanakan  beberapa inisiatif yang proaktif kepada usahawan.

“Antaranya penangguhan bayaran sewa sehingga Disember 2020 dan tawaran diskaun penyewaan sehingga 20 peratus kepada penyewa yang layak bagi bulan April hingga Jun 2020 bagi penyewa yang tiada tunggakan dan tiada kes guaman,” katanya.

Tambah Faizal lagi, PKNP sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat dan memahami masalah yang dihadapi oleh semua penyewa.

Justeru PKNP kini dalam proses terakhir untuk memuktamadkan dasar baharu bagi kadar sewa untuk membantu para penyewa PKNP yang terkesan di semua premis perniagaan milik PKNP di seluruh negeri.- MalaysiaGazette