wanita OKU yang cuba menyerang lelaki tempatan kerana ditegur memandu lawan arus ditahan polis hari ini.

KAJANG – Polis telah menahan seorang wanita warga emas kerana menggunakan tongkat sabit ketika berlaku perselisihan faham setelah ditegur memandu lawan arus dengan seorang lelaki tempatan.

Suspek yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) berusia 66 tahun itu telah ditahan polis Kajang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis telah menerima aduan seorang lelaki semalam selepas kejadian itu berlaku di Blok A3 Jalan Bukit Segar 1, Taman Bukit Segar, Cheras.

“Mangsa dalam kes ini mendakwa telah berselisih faham dengan wanita berstatus OKU, yang mana kejadian tersebut telah tular di laman media sosial Facebook.

“Kejadian berpunca apabila mangsa telah menegur suspek yang memandu di jalan sehala menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan yang lain di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, suspek kemudian datang ke arah lelaki itu dengan menunjukkan kad OKU sambil mengangkat tongkat yang diikat dengan sabit serta cuba memukul mangsa.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Zaid berkata, bertindak atas laporan polis yang diterima daripada mangsa,wanita itu ditahan.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mohd Zaid meminta saksi bebas yang telah berada di lokasi dan melihat kejadian berkenaan supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis.

Mereka boleh menghubungi Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 0197691924 atau 03-89114222. – MalaysiaGazette