KUALA LUMPUR – Warga kota yang menghadapi kekeliruan atau pun sebarang masalah berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dinasihati untuk terus bertemu pegawai bertugas di lapangan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sekiranya penduduk yang berada di lokaliti PKPD itu ingin mendapatkan kebenaran keluar dari kawasan tersebut juga perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
Kelulusan hanya akan diberikan sekiranya ia membabitkan kesihatan, keselamatan, kecemasan dan kebajikan, tegasnya.
“Di Kuala Lumpur kita bermula tengah malam tadi jadi mungkin ada sedikit kekeliruan, itu memang saya akui tapi ketika ini saya percaya semua pegawai di lapangan sudah tahu apa yang boleh dan tidak boleh (kebenaran).
“Kalau ada sebarang permasalahan sila terus berjumpa dengan pegawai bertugas di PKPD tetapi kena pastikan ia hanya berkait dengan empat syarat yang saya jelaskan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKPD di Taman Bukit Angkasa hari ini.
Sementara itu, menurut Azmi, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini masih dalam peringkat perbincangan mengenai proses vaksinasi kepada penduduk yang berada di lokaliti PKPD.
Jelas Azmi, perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Kita masih tunggu bagaimana penyusunan KKM sama ada beri tarikh baharu atau mereka datang ke kawasan ini untuk vaksin penduduk dalam lokaliti PKPD,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, tiada pertambahan jumlah sekatan jalan raya (SJR) di Kuala Lumpur walaupun beberapa lokaliti dikenakan PKPD.
“Kita kekal dengan 17 SJR tetapi elemen-elemen lain akan terus diperkasakan,” katanya.
Mengulas mengenai Op Patuh bermula semalam, Azmi berkata, sebanyak 18 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan semalam selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 43 buah kilang, penginapan pekerja serta tapak binaan.
“Kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga penjarakan fizikal serta bilangan pekerja yang hadir melebihi had ditetapkan,” katanya.
Azmi berkata, sebanyak 800 pegawai dan anggota ditugaskan di seluruh lokaliti PKPD di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: