Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – China menyumbang sebanyak 500,000 vaksin kepada Malaysia dalam usaha membantu memerangi Covid-19.

Menteri Koordinator Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, penghantaran vaksin dari China itu dijangka tiba pada pertengahan bulan ini.

Katanya, beberapa hari lalu Malaysia sudah menerima satu juta dos vaksin Pfizer sumbangan Amerika Syarikat (AS) dan satu juta lagi dos vaksin AstraZeneca (AZ) disumbangkan oleh Jepun.

“Perolehan kira-kira 5.4 juta dos vaksin Pfizer yang dibeli kerajaan dijangka tiba bulan ini.

“Kita juga akan menerima perolehan kira-kira 500,000 dos vaksin AZ yang sudah ditempah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan mengenai perkembangan PICK yang turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.

Menurut Khairy lagi, baki daripada 12 juta dos vaksin Sinovac akan diterima sepenuhnya bulan ini yang mencukupi untuk diberikan kepada kira-kira 18 peratus penduduk Malaysia.

Awal pagi hari ini, Malaysia menerima satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang disumbangkan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk PICK Malaysia.

Sumbangan itu merupakan sebahagian dari janji dari pentadbiran Presiden AS, Joe Biden untuk berkongsi 80 juta dos vaksin Covid-19 dengan pelbagai negara termasuk sebahagian di Asia. – MalaysiaGazette