Mohd Shahar Shah Abdul Gahani bersama dua orang anaknya.

KUALA LUMPUR – Hidup bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa kru belakang tabir terutama ‘freelancer’ kerana hilang punca pendapatan apabila aktiviti pengambaran dihentikan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Mohd Shahar Shah Abdul Gahani, 35, yang bekerja sebagai penata cahaya dalam industri penerbitan selama 18 tahun berkata, beliau telah terputus sumber pendapatan hampir dua bulan hingga tidak mampu menampung kehidupan keluarganya di Kuala Lumpur.

Ditambah pula, isterinya yang bekerja kontrak di sebuah firma guaman juga telah ditamatkan perkhidmatan atas faktor pengurangan pekerja akibat pandemik Covid-19.

Katanya, keputusan beliau untuk pulang ke kampung di Lenggong, Perak adalah jalan terbaik bagi meneruskan kehidupan kerana di sana masih boleh mencari sumber makanan dengan bercucuk tanam dan memancing.

“Memang terjejas sangatlah sampai saya perlu pindah pulang kampung, disebabkan punca pendapatan, hampir dua bulan lebih tiada kerja, isteri pula sudah tiada kerja selepas kontrak ditamatkan, jadi semua balik kampung,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette secara maya.

Shahar yang juga bapa kepada dua orang anak, masing-masing berusia tiga tahun dan sembilan bulan berkata, pelaksanaan PKP 3.0 ini menjadikan kehidupannya semakin tenat kerana beliau tidak mampu untuk membayar sewa rumahnya di Klang.

Sebagai ‘freelancer’, beliau hanya bergantung sumber pendapatan pada projek pengambaran dan jika PKP berterusan, ia terus memberi impak pada mereka yang terlibat dalam sektor seni.

Mohd Shahar Shah Abdul Gahani bersama-sama rakan sekerja ketika menjalani pengambaran.

“Memang saya tidak tahu hendak cakap bagaimana sebab kehidupan saya memang terjejas teruk sampaikan tidak mampu untuk membayar sewa rumah, bil elektrik semua tidak ada duit. Nak dapatkan bantuan juga susah tidak seperti PKP 1.0.

“Sebelum ini dapat bantuan RM500 bolehlah juga beli barang makan dan lampin anak tapi habis sekali sahaja. Kira boleh menampung untuk sebulan sahaja tetapi kalau lanjut lagi PKP memang makin teruk la kami tidak tahu mana hendak cari duit.” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahar berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup, beliau terpaksa mengambil keputusan untuk meminjam saudara mara bagi membeli keperluan harian anak-anak seperti lampin bayi, susu dan perubatan.

Sehubungan itu, Shahar berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada kru belakang tadbir dan golongan seni yang amat terkesan akibat PKP 3.0 dengan memberikan bantuan berbentuk kewangan bagi kelangsungan hidup.

Malah beliau juga meminta kerajaan dapat mengkaji semula fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk memberi kelonggaran agar aktiviti pengambaran dapat kembali dilaksanakan seperti biasa dalam norma baharu.

Bantuan kepada Mohd Shahar Shah Abdul Gahani boleh disalurkan ke akaun Maybank 164557055551. – MalaysiaGazette