Hammers hanya mahu melayan Chelsea jika datang dengan 100 juta pound untuk Declan Rice musim ini.

LONDON – Selepas misi mendapatkan penyerang muda prolifik Erling Haaland dari Borussia Dortmund terkubur, Chelsea sekali lagi dikecewakan dalam pasaran perpindahan pemain musim ini.

Terbaharu, hasrat the Blues untuk merembat Declan Rice dibalas dengan tamparan harga sebesar £100 juta (RM575 juta).

Itu nilai yang disyaratkan West Ham United terhadap skuad kendalian Thomas Tuchel sekaligus menyukarkan lagi peluang juara bertahan Liga Juara Eropah musim lalu mengikat khidmat pemain itu.

Pemain berusia 22 tahun itu sekian lama dikaitkan untuk kembali ke Stamford Bridge selepas dilepaskan pada usia 14 tahun.

Rice masih belum memperbaharui kontrak bersama the Hammers.

Namun, kontrak semasa Rice sah sehingga tahun 2024 dan Pengurusnya David Moyes tidak berhasrat menjual pemain itu pada harga rendah.

the Athletic melaporkan bahawa Hammers hanya akan melayan dan sedia berunding dengan mana-mana kelab yang rela menyediakan dana £100 juta untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Hammers juga dilihat tidak bersedia berganjak daripada pendirian mereka dalam soal klausa yuran pelepasan yang ditetapkan.

Manchester United juga berminat ke atas pemain itu namun tidak bersedia membuka akaun dana sebesar itu selepas mengesahkan Jadon Sancho dengan harga £73 juta minggu ini.

Tuchel dikatakan telah membincangkan mengenai Rice kepada kakitangan pasukannya dan memuji kualiti yang dimiliki pemain itu namun kelab tidak berusaha memulakan sebarang rundingan mengenai potensi membeli pemain itu.

Rice yang beraksi dalam skuad Three Lions di Euro 2020 dikatakan mahu kembali ke Stamford Bridge.-MalaysiaGazette