Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Peralihan fasa demi fasa dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak akan berpatah balik ke fasa sebelumnya.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perkara itu diputuskan dalam sidang Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama. Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua.

“Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back,” katanya dalam ucapan mengenai PPN di sidang khas Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri-negeri yang telah berubah fasa PPN, langkah untuk mengetatkan pergerakan akan dilaksanakan semula.

“Kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini,” katanya lagi.

PPN kata Muhyiddin merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat.

Oleh yang demikian, kesinambungan PPN dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dan Bajet 2022.

“RMK-12 dijangka akan dibentangkan di dewan yang mulia ini pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti,” jelas Muhyiddin.

Justeru itu, Bajet 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara.

Bajet tahun hadapan itu, katanya, akan memberikan tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global.

“Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet atau dengan izin pre-budget statement termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan Bajet tahunan,” kataya lagi. – MalaysiaGazette