Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri menunjukkan Pelan Pemulihan Pelancongan di bawah Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas sidang media di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Malaysia memberi tumpuan untuk memanfaatkan produk dan jenama tempatan dalam membantu mempercepat proses pemulihan kepada pengusaha dan
pendapatan komuniti perniagaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi membantu mengimbangi kemerosotan ekonomi disebabkan ketiadaan sumbangan asing pada masa ini.

Jelas beliau, usaha itu juga sejajar dengan tindakan agresif kementeriannya melaksanakan Rancangan Pemulihan Pelancongan dan Budaya yang menekankan pelancongan domestik.

Ia untuk memastikan individu kembali bekerja, perniagaan dan firma kembali ke pengeluaran sebelum krisis serta mengembalikan semula tahap pekerjaan secepat mungkin.

“Dasar Pelancongan Nasional 2020 – 2030 telah menetapkan tiga tonggak iaitu Daya Saing, Inklusif dan Kelestarian sebagai arah strategiknya untuk berubah kepada industri pelancongan Malaysia.

“Ini akan dilakukan bagi memanfaatkan perkongsian sektor awam-swasta dan menerapkan digitalisasi untuk mendorong inovasi dan daya saing ke arah lestari dan pembangunan inklusif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

“Untuk menyokong ke arah strategik ini, enam strategi transformasi telah digariskan dan salah satunya memulakan secara menyeluruh penerokaan digitalisasi ke arah Pelancongan Pintar bagi menghadapi peluang dan cabaran Revolusi 4.0 (IR4.0),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Bahagian Makaan dan Minuman (F&B) Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) secara  maya hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berharap MRCA dapat melibatkan diri dalam peningkatan kemahiran digital dan program latihan dan kemahiran semula bagi bertindak balas terhadap trend  baru muncul, perjalanan pengembara yang selamat dan pengalaman.

Jelas beliau, ia salah satu daripada banyak cara untuk membolehkan industri pelancongan bertanggungjawab dalam norma baru dengan mengintegrasikan kesihatan, keselamatan, kebersihan dan kelestarian.

“Ia menjadi pendekatan berpusat pada pengembara, di mana digital tanpa sentuhan operasi adalah perkara yang diamalkan sekarang

“Ini termasuk pembayaran tanpa tunai, kad e-kedatangan, daftar masuk tanpa sentuhan dan juga transaksi pembelian tanpa sentuhan,” katanya. – MalaysiaGazette


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast