Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan  yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih mendukacitakan apabila YDPA sendiri mendedahkan pembatalan Ordinan Darurat  yang diumumkan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan.

“Hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat Takiyuddin di Parlimen pada Isnin bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

Susulan perkembangan itu, UMNO akan meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

“Ahli-Ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette