GEORGE TOWN – Kerajaan perlu gubal akta lompat parti bagi mengelakkan kejadian yang berlaku sebelum ini berulang, kata Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Mohd Yussof berkata, akta lompat parti juga perlu digubal sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 agar tiada wakil rakyat melompat parti sewenang-wenangnya.

Jelas beliau, budaya tersebut perlu dikekang daripada wujud dan berleluasa di negara ini bagi memastikan politik terus dihormati.

“Sudah tiba masanya kerajaan menggubal akta menyekat daripada berlakunya budaya lompat parti di negara ini dan ia perlu disegerakan sebelum PRU15.

“Bagi saya wakil rakyat yang lompat parti ini adalah pengkhianat kepada rakyat dan saya yakin PRU nanti mereka akan ditumbangkan.

“Mereka (wakil rakyat) yang lompat parti ini ada agenda tersendiri, mungkin terlibat dalam rasuah jadi takut kena tangkap. Kalau seorang wakil rakyat berwibawa itu tak perlu diendahkan,” katanya pada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Pemenang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai polemik dengan Istana Negara, Mohd Yussof berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan atas polemik yang tercetus dengan Istana Negara. 

Kata beliau, ini kerana polemik berhubung pengumuman pembatalan darurat yang tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. 

“Apa yang boleh saya katakan di sini  pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen itu sebagai `pembohongan’ serta melanggar Perlembagaan negara sekali gus tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. 

“Tidak pernah berlaku apabila Yang di-Pertuan Agong menegur kerajaan ‘sehebat ini’ seperti semalam dan jawapan daripada Kerajaan Pusat pula seolah-olah berlawanan dengan apa yang dizahirkan Istana Negara. 

“Pada saya perkara ini adalah sangat tidak wajar dan Perdana Menteri perlu bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan,” ujar Mohd Yussof.

Semalam, Kerajaan Peri­katan Nasional (PN) dikatakan goyah selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita de­ngan kenyataan kerajaan yang dibuat di Parlimen bahawa semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan telah dibatalkan.

Kegagalan kerajaan mendapatkan perkenan Yang di-Per­tuan Agong ketika membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu mengundang krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini. – MalaysiaGazette