Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kenyataan Tan Sri SA Vigneswara mengenai tiada keperluan untuk membahaskan Ordinan Darurat 2021 berikutan tarikh luputnya pada hari ini tidak dalam konteks sebenar.

Malah beliau mendakwa ulasan Presiden MIC itu mempunyai unsur manipulasi untuk kepentingan politiknya.

Menurut Wan Rosdy, di bawah Perkara 40 (1) yang mana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri adalah tidak mutlak.

“Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan ada termaktub bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan beberapa fungsi antaranya;

“Meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vigneswara hari ini berkata, tindakan ahli parlimen membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat mensia-siakan masa parlimen dalam usaha memulakan protokol dan prosedur ke arah membangunkan kembali negara ini.

Wan Rosdy berkata, telah termaktub secara jelas dalam soal untuk membatalkan Ordinan Darurat ia perlu dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu.

Tambah beliau, ia dititahkan YDPA pada perbincangan secara maya dengan wakil Kerajaan Pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai 2021.

“Kedua-duanya digubal dan dimaktubkan oleh Kerajaan Pusat maka menjadi tanggungjawabnya jugalah untuk memastikan setiap apa yang termaktub, dilaksanakan termasuk dalam hal mengemukakannya ke Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan.

“Selain itu, ia adalah keperluan kerana tanpa dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahas dan dilulus pembatalannya, apa juga perkara terkandung dalam Ordinan Darurat 2021 khususnya, akan kekal berkuatkuasa untuk selama enam bulan akan datang, ujar beliau

“Mengenai pertikaian Yang Berbahagia Tan Sri Vigneswaran  ‘why is dirty linen being washed in public..’ merujuk kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Pusat; ia bukanlah persoalan pokok,” ujarnya.

Tambah beliau, apa yang penting rakyat perlu diberi kesedaran dan mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar mengenai isu yang diperkatakan sekarang. – MalaysiaGazette