Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran (kiri) dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir menunjukkan laporan polis berkaitan isu penutupan Parlimen dan halangan terhadap ahli-ahli Parlimen daripada memasuki kompleks Parlimen Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Dua ahli Parlimen pembangkang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas dihalang untuk memasuki bangunan Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran tampil membuat laporan sekitar pukul 11.30 pagi tadi sejurus selepas puluhan wakil rakyat pembangkang berarak dari Dataran Merdeka.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR itu berkata, mereka telah dihalang oleh sepasukan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ketika berada di Bulatan Dato Onn berhampiran Bank Rakyat, Jalan Tangsi hari ini.

“Dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, Ahli Parlimen diberi mandat dan amanah oleh rakyat, justeru kami mempunyai tanggungjawab serta kewajipan untuk hadir ke Parlimen bagi menjalankan tugas.

“Seperti yang dititahkan berkali-kali oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Parlimen perlu bersidang bagi membolehkan semua ahli Parlimen dan wakil kerajaan menjalankan fungsi serta tanggungjawab yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Tambah Akmal, beliau tampil membuat laporan supaya satu siasatan dapat dijalankan ke atas individu-individu yang terbabit memberi arahan untuk menyekat dan menghalang Ahli Parlimen daripada memasuki bangunan tersebut.

Katanya lagi, setiap ahli Parlimen juga mempunyai pejabat masing-masing di bangunan tersebut bagi menjalankan tugas masing-masing.

“Jelas berlaku satu langkah yang tidak munasabah apabila mesyuarat seperti PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara ) boleh dibenarkan dan kakitangan Parlimen juga dibenarkan masuk tetapi ahli Parlimen tidak diberikan hak untuk masuk ke bangunan itu.

“Jika mereka membuka ruang kepada ahli Parlimen untuk masuk, saya percaya mereka ini dapat jalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan baik selain tiada lagi media yang terpaksa berhimpit-himpit sebegini,” ujarnya.

Terdahulu puluhan ahli Parlimen pembangkang bertindak berarak menuju ke Parlimen selepas membuat ucapan ringkas di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun cubaan tersebut tidak berhasil apabila mereka dihalang oleh anggota FRU yang menjalankan kawalan ketat di Bulatan Dato Onn hari ini. – MalaysiaGazette