Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap kepada media selepas pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengesahkan surat susulan daripada Istana Negara yang ditularkan oleh ahli Parlimen pembangkang tidak sahih.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, hanya surat pertama dari Istana Negara pada 29 Julai lalu sahaja yang sah.

“Tidak betul (surat kedua), yang surat pertama itu sah bahawa Yang di-Pertuan Agong dukacita, tapi surat selepas itu ada yang tidak betul dan ditambah-tambah.

“Kita sudah semak dan ada yang tidak betul, KKMM harap rakyat tidak terpengaruh,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Jumaat lalu, tular di media sosial mengenai surat kedua daripada ‘Istana Negara’ berkaitan penamatan Ordinan Darurat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia pertama kali dikongsi Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad di Twitter miliknya.

Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, beliau mempunyai bukti mengenai penyebaran surat palsu itu dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

“Kita boleh mengambil tindakan dan bagi amaran di bawah Aka Komunikasi dan Multimedia dan saya harap rakyat tidak telibat dengan usaha memfitnah pemimpin dan sebagainya,” katanya.

Ahad lalu, Pemuda Pas membuat satu laporan polis berhubung penyebaran surat didakwa sebagai surat Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri.

Menurut Timbalan Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, pembocoran surat tersebut telah menggugat kestabilan dan keharmonian negara. – MalaysiaGazette