Parti-parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, Amanah, DAP, UPKO, PBS, Warisan termasuk seorang wakil bebas kekal menolak kerajaan PN dan Muhyiddin- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mustahil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen.

Ini kerana kesemua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menegaskan kebersamaan dengan Ahli Parlimen Tuaran (UPKO), Simpang Renggam (Bebas), Selangau dan Sri Aman (PSB) untuk tetap menolak Perdana Menteri.

Demikian tegas parti-parti pembangkang menerusi kenyataan bersamanya hari ini.

“Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Mahiaddin dan seluruh jemaah menteri mesti meletakkan jawatan,” kata kenyataan yang sama.

Antara yang bersama-sama mengeluarkan kenyataan tersebut adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson), Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu (Kota Raja), Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Bagan) dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran).

Selain itu turut bersama menerusi kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Selangai dari parti PSB iaitu Baru Bian, Datuk Masir Kujat (Sri Aman) dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mewakili bebas.

Turut menyatakan penolakan kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional hari ini adalah Parti Warisan Sabah yang terdiri daripada dua ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) dan Darel Leiking (Penampang).- MalaysiaGazette