Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MCA berpendapat tiada satu pun atau gabungan parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan stabil dan ia adalah hakikat dan realiti sekarang.

Maka jika kerajaan PN dijatuhkan sekarang, ia hanya akan mengheret negara ke dalam krisis politik yang tidak berkesudahan dan pastinya ia memudaratkan rakyat serta negara.

Lantaran itu, MCA berpendapat keputusan perdana menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen September nanti yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah langkah yang tepat berdasarkan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

”Dalam masa yang sama, kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang kian merundum, yakni kestabilan politik adalah penting dalam melindungi nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, Biro Politik MCA yang telah mengadakan mesyuarat semalam membuat keputusan untuk melaksanakan ketetapan Barisan Nasional (BN) yang akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ini merupakan pendirian BN dari tahun lepas dan MCA mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankannya.

MCA juga berpendapat sudah tiba masanya kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat, memandangkan program vaksinasi telah berjaya dilaksanakan dengan pantas kebelakangan ini dan dilihat semakin berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang agak kurang berkesan untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan.

Bahkan PKP yang berterusan ini akan terus meningkatkan kesengsaraan rakyat yang berhadapan dengan kesukaran mencari rezeki.

Sebaliknya, vaksinasi rakyat secara menyeluruh merupakan jalan terbaik bagi negara sekarang ini. – MalaysiaGazette