Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bersama Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) dan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar (kiri) keluar selepas memberi keterangan mengenai himpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 OGOS 2021

KUALA LUMPUR – Tidak syak lagi kerana sudah terang lagi bersuluh, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas tidak mempunyai sokongan, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu mendakwa, tindakan Muhyiddin menangguhkan sidang Parlimen jelas menunjukkan bahawa beliau mahu ‘membeli’ masa untuk terus bertahan.

“Hari ini kita ikuti pula sidang media oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Timbalan Perdana Menteri) yang menyebut bahawa 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sokong kerajaan.

“Kita tahu BN ada 42 (ahli Parlimen), kalau 31 sahaja, meninggalkan 11 yang sah tidak menyokong. Itu bermaksud daripada 114 yang menyokong Muhyiddin, tolak 11 ia tinggal 103 daripada 220, itu kenyataan dari Ismail Sabri sendiri.

“Perdana Menteri sepatutnya segera lah berundur, tidak perlu tunggu sehingga bulan September, tidak ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan Ismail Sabri menerusi sidang media tergempar yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi tadi.

Terdahulu Saifuddin bersama Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung himpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada Isnin lalu.

Seramai 31 ahli-ahli Parlimen BN hari ini menghadiri perjumpaan yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu.

Menurut Ismail, ahli Parlimen yang hadir di Auditorium DBKL hari ini menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa kerajaan PN harus diteruskan sehingga satu usul undi percaya terhadap Muhyiddin dibuat pada September depan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. jika BENAR UMNO YANG SUCI MURNI DAN P UNAH HARAPAN NAFSU BESAR BERHASRAT AMBIL ALIH KERAJAAN…BOLEHHHH JAMIN 100-200% HAPUSKAN DAN MUSNAHKAN COVID SEPENUHNYA SEPERTI PETIK JARI SEBELAH MATA BOLEH SELESAI SEGERA DALAM 100 HARI

    JANJI 100HARI MASA 22 BULAN PUN TERKENCING2..LEBIH JAHANAM DAN PUNAH NEGARA TAPI TUDING JARI KERJAAN GAGAL …

Comments are closed.