A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyelar tindakan segelintir pemimpin UMNO yang cuba menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk ‘menghentam’ parti sendiri.

Kadir yang juga bekas penasihat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah satu tindakan pengecut untuk pemimpin UMNO menggunakan kedudukan mereka seperti menteri, timbalan menteri dan juga GLC untuk menentang Presiden UMNO.

“Rasanya  tidak ramai akan meratap jika Ahmad Zahid Hamidi tersingkir daripada jawatan Presiden UMNO. Sebaliknya lebih ramai akan berasa gembira. Betullah seperti kata bekas ketua pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin bahawa dia masih sayangkan UMNO  tetapi tidak percaya kepada Ahmad Zahid.

“Itulah juga punca kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum 2018. Pengundi hilang kepercayaan kepada Presiden dan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

“Tetapi cara anggota Kluster Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC Umno menggunakan kedudukan dalam kerajaan bagi menentang kepemimpinan parti mereka sendiri tidak membantu mereka menjadi lebih dihormati daripada Ahmad Zahid dan Kluster Mahkamahnya.

“Kalau mereka tidak bersetuju dengan kepemimpinan Ahmad Zahid Hamidi dan dengan pengaruh Najib dalam kepemimpinan parti, mereka sepatutnya bertindak sebagai orang berani.

“Mereka sama ada berlawan dengan Ahmad Zahid dan Kluster Mahkamah dari dalam atau keluar daripada parti itu. Menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk menghentam parti sendiri adalah perbuatan pengecut dan salah.

“Kalau Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC Umno dalam Kerajaan PN adalah orang yang berani dan berpekerti tinggi, mereka sepatutnya hadir mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan berbahas secara bersemuka dengan Ahmad Zahid dan konco-konconya.

“Sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan dalam MKT rasanya tidak hadir mesyuaratnya. Ketua mereka dalam kerajaan PN, Ismail Sabri Yaakob adalah salah seorang Naib Presiden Umno. Sepatutnya dia jadi anak jantan dan berbahaslah secara bersemuka dengan Ahmad Zahid. Dia Timbalan Perdana Menteri sekarang,” katanya dalam tulisan terbarunya di Facebook hari ini.

Tulis Kadir lagi, lebih mengejutkan apabila kumpulan itu juga menggunakan kuasa eksekutif bagi menekan parti sendiri menggunakan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Amat jelas yang perintah terbaru RoS berkaitan pengangguhan pemilihan parti itu adalah tindakan politik.

“Adakah mereka sedang bersubahat menggunakan kuasa eksekutif untuk menyingkir Ahmad Zahid dan Kluster Mahkamah dengan tujuan mengambil alih kepemimpinan parti itu?

“Atau mereka mahu Umno diharamkan supaya mereka boleh merampasnya dengan sekali lagi mendaftarkan UMNO Baru?,” soalnya.

Jelas Kadir Jasin lagi, sememangnya diakui UMNO sudah lama ‘menderita’ masalah kebolehpercayaan yang teruk di bawah pimpinan Ahmad Zahid.

“Dia  mempunyai kes jenayah di mahkamah dan sering dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tindakannya menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong akhir tahun lalu bagi menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri adalah bertentangan dengan dasar parti.

“Tetapi bagi pemberontak UMNO yang menganggotai kerajaan PN dan menyokong Mahiaddin, perbuatan mereka menikam parti sendiri adalah hina dan merendahkan martabat mereka sebagai pemimpin.

“Ramai menyokong mereka dalam percubaan menyingkirkan Kluster Mahkamah tapi bukanlah dengan cara tikam curi. Sekarang mereka menderita padahnya.

“Dua orang rakan menteri mereka dan beberapa orang ahli lembaga pengarah GLC telah meletakkan jawatan dan menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN dan Mahiaddin. Sekali gus kedudukan mereka sendiri menjadi lemah,” dakwanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast