PETALING JAYA – Badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Melayu Islam Beriltizam Kebangsaan mengingatkan agar ahli-ahli Parlimen terus fokus kepada masalah rakyat ketika penularan Covid-19.
Presidennya, Ismawi Ismail berkata, aktiviti merebut kuasa dalam wakil rakyat tidak menguntungkan rakyat kerana mereka hanya menjaga kepentingan peribadi pihak tertentu sahaja.
“Sidang Parlimen baru-baru ini bukan isu rakyat yang diketengahkan tapi timbul tidak puas hati, bukan nak cerita mengenai masalah rakyat. Adakah vaksin sudah diberikan secukupnya, isu ini tidak timbul. Mereka hanya berkelahi untuk berebut kuasa.
“Politik hanya bergaduh untuk merebut kuasa, bukan nak bantu rakyat, jadi saya ingatkan rakyat jangan terpengaruh dengan kabus yang cuba untuk menjaga kepentingan peribadi bukan kepentingan rakyat. Janganlah kita terima,” katanya dalam sidang medianya hari ini.
Ismawi berkata, suasana politik Malaysia semakin meruncing semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 sedangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah agar kerajaan memfokuskan kepada isu menangani pandemik Covid-19.
“Masih ada lagi dalam kalangan pemimpin pembangkang yang cuma memanaskan isu politik lagi yang memberikan satu kesan yang buruk di kalangan masyarakat. Rakyat terkesan dan sepatutnya rakyat dibantu dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku ahli Parlimen di kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kebajikan Melayu Islam Beriltizam Kebangsaan nekad menjunjung titah Agong agar mengutamakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memerangi penularan Covid 19 ketika ini.
Setiausahanya, Mohd Fuad Ramlan berkata, titah baginda itu jelas menunjukkan sikap berkecuali tanpa menyokong mana-mana parti politik sebaliknya kesejahteraan rakyata dan kepentingan negara menjadi keutamaan.
“Baginda menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pemerintahan Raja Berpelembagaan mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan akan terus diperlihara.
Maka hentikanlah segala pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa bagi mencari jalan keluar dari segala kemelut yang dihadapi ketika ini tanpa mengheret rakyat yang kian terbeban dengan situasi pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media yang sama.
Mohd Fuad berkata, pihaknya juga menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini agar semua pihak terus memberi fokus kepada pentadbiran negara tanpa mengira edologi politik, sokongan serta pendirian mereka.
Melihat situasi ketika ini, ujarnya, pembangkang sepatutnya membantu pentadbiran kerajaan dari segi aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan dan ekonomi namun sebaliknya mereka cuba mencetuskan situasi membimbangkan pada rakyat.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bercakap benar berdasarkan realiti diatas tanah, bukan berdasarkan keuntungan politik. Kami bersama hati nurani rakyat yang sudaha muak dengan permainan politik puak yang menentang ketika ini dengan mencipta berbagai persepsi.
Jika tidak ditangani segera, ia akan menimbulkan tindak balas yang boleh mempengaruhi rakyat ditambah pula cyber trooper juga mengundang kepercayaan rakyat dan mendoakan kegagalan usaha yang dibina kerajaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, NGO itu mengajak rakyat menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong agar negara kembali makmur dan damai. – MalaysiaGazette