Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menyatakan sokongan terhadap inisiatif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuka kerjasama semua pihak bagi mewujudkan kestabilan politik dan pemerintahan dalam negara.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, usaha itu bukan sahaja boleh mengubah landskap negara dan dalam masa sama akan memberi kebaikan kepada rakyat.

“Tanggungjawab yang lebih penting kini adalah membendung penularan Covid-19, menyelamatkan nyawa dan memulihkan Malaysia,”

“Kita boleh nampak di situ, tujuan PN adalah semata-mata untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik. Demi rakyat dan negara,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Dominic berkata, seruan kerajaan itu tidak wajar untuk ditolak oleh parti pembangkang khususnya.

“Persefahaman rentas parti ini adalah kenyataan seorang pemimpin yang berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi.

“Cadangan itu adalah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Perutusan Khas Muhyiddin semalam berhubung tujuh tawaran untuk mengekalkan kestabilan tanah air.

Antaranya adalah tawaran kerjasama rentas parti membentuk kerajaan partisan.

Dalam pada itu Naib Pengerusi Gerakan, Koo Shiaw Lee berkata, semua pihak harus mengetepikan perbezaan politik sesuai dengan slogan yang sering disuarakan iaitu ‘utamakan rakyat’. –  MalaysiaGazette