Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan kesal dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tindakan-tindakan dilakukan hari ini.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berganding bahu untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN).

”Semua orang sudah tahu mereka ini masing-masing mahu jadi perdana menteri bukan mahu menolong tangani Covid-19.

“Anwar selalu membuat ancaman berprofil tinggi seperti mengatakan cukup sokongan untuk membentuk pemerintahan baharu, tetapi pada akhirnya ia tidak berjaya” katanya dalam kenyataan di sini.

Dominic berkata, biarpun Muhyiddin telah meletakkan jawatan perdana menteri, Parti Gerakan akan tetap menyokong beliau dan bersama PN.

Beliau memuji Muhyiddin kerana tidak berkompromi dengan rasuah dan berusaha sedaya upaya mengawal wabak ini sebelum memikirkan hal politik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana masih berpegang teguh pada janji dan sudi mentadbir negara biarpun untuk sementera,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, katanya, jangan sesekali memberi kembali Pakatan Harapan berkuasa memerintah negara.

Pertempuran dalaman yang berterusan dalam kalangan mereka akan terjadi kembali dan sikap pemimpin PH yang sombong hanya akan menyusahkan rakyat.

Beliau turut meminta semua parti politik untuk menghormati agenda demokrasi, tidak mengira bagaimana keadaan politik sekarang namun keutamaan harus diberikan kepada menangani Covid-19.

Menurutnya, tugas utama adalah mengatasi wabak ini dan bantu rakyat keluar daripada keadaan tertekan dan kesulitan ekonomi sekarang.

“Harapan Gerakan sangat jelas iaitu mahu melihat keadaan politik negara stabil dan perjuangan politik tidak sesekali memberi kesan negatif kepada rakyat.

“Dalam keadaan kritikal ini, pemimpin negara sewajarnya fokus kepada Covid-19 dan hentikan semua agenda-agenda politik. Jika semuanya sudah pulih, rakyat dapat hidup aman dan boleh adakan PRU,” tambah Dominic.

Tambah beliau, rakyat sudah bosan dengan drama perjuangan politik yang tidak masuk akal sekarang, jadi sudah sampai waktunya untuk semua parti-parti membuat membuat gencatan senjata politik. – MalaysiaGazette