Gaddafi Ismail atau Dafi.

KUALA LUMPUR –  Penyanyi dan pelakon Dafi mengakui hingga saat ini dia masih belum dapat menerima berita mengenai pelantikan bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan sebagai Perdana Menteri (PM) kesembilan hari ini.

Kata penyanyi lagu Bila Terasa Rindu itu, dia belum sempat berkomunikasi dengan bapanya sejak tempoh pelantikan berkenaan dihebahkan petang tadi.

Malah pemilik nama penuh, Gadaffi Ismail Sabri tidak mahu menganggu papanya termasuk melayangkan ucapan tahniah menerusi telefon bimbit.

“Sejak beberapa hari lalu, ketika khabar angin bertebaran mengatakan Papa disebut sebut bakal menyandang jawatan itu pun, saya tidak terlalu larut dengan hal berkenaan.

“Saya sejujurnya tak terlalu memikirkannya. Apabila disahkan mengenai pelantikan itu petang tadi pun, saya terdiam seketika. Namun itu tak bererti, saya tidak tumpang bangga dengan apa yang diamanahkan kepadanya.

“Saya sedari dulu tak pernah terfikir langsung yang Papa akan jadi PM. Saya yakin Papa tengah sibuk saat ini. Jadi saya biarkan Papa bertenang dulu. Nanti balik rumah, saya ucapkan tahniah secara berdepan saja,” katanya yang berusia 32 tahun dan merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Menurut Dafi, sejak papanya memikul mandat dalam Kabinet kerajaan lagi, dia sebagai anak meletakkan sokongan penuh dan jitu.

“Saya harap mandat yang diberikan kepadanya akan dipikul sehabis baik dan penuh bertanggungjawab.

“Sebagai anak, pemerhati dari jauh dan rakyat Malaysia, saya harap amanah itu tak dipersiakan. Saya yakin semua mengharap satu perubahan dan peningkatan selepas ini. Terutama ketika bergelut mendepani era pandemik Covid-19.

“Untuk Papa berada di atas tampuk pimpinan itu bukan satu perkara mudah. Ia bukan kerja senang. Semoga segala galanya akan berbalik dengan kemanisan untuk kita semua. Insya-Allah,” katanya.

Dafi menambah sejak dulu lagi, ketika papanya memegang apa juga pangkat dan kedudukan, dia tidak mahu mengambil kesempatan.

“Secara umum, sejak dua tahun lalu ketika pandemik menyerang dunia, pelbagai dugaan kita lalui. Dunia seni juga tak terkecuali. Cuma saya harap tak kira sektor apa sekali pun, semoga ada perubahan yang bakal kita raih kelak.

“Semoga segala galanya akan ada sinar yang bakal menjelma,” katanya kini membintangi filem komedi seram, Ada Hantu arahan Hairul Azreen yang ditayangkan di platform digital, Disney+ Hotstar.

Petang tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong berkenan lantik Ismail Sabri jadi PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast