Gambar hiasan

MENURUT Profesor Dr Ahmad Zaki Engku Alwi dalam Berita Harian pada 30 Ogos 2019, jiwa merdeka bukan sahaja sebagai kebebasan individu daripada cengkaman politik dan penjajahan luar, bahkan juga bebasnya jiwa seseorang dari segi fikiran dan akalnya. Ia merangkumi cara berfikir, menilai dan bertindak dalam diri seseorang itu. Individu yang benar-benar merdeka adalah individu yang memiliki pemikiran yang sihat dan bebas daripada pengaruh-pengaruh haiwani dalam bentuk dorongan hawa nafsu dan sifat-sifat buruk yang sentiasa menarik manusia ke jurang kemusnahan.

Beliau juga menyatakan bahawa kemerdekaan sebenar adalah apabila seseorang itu hanya tunduk dan terikat kepada Tuhan yang Maha Agung dan membebaskan dirinya daripada ikatan-ikatan keduniaan dan kemanusiaan yang membelenggu keharmonian ikatannya dengan Tuhan. Ikatan dengan Tuhan penting kerana ia mempunyai nilai-nilai baik yang memberi pedoman.

Apabila seseorang individu menjaga ikatannya dengan Tuhan, sekali gus telah menjaga diri, hati dan pemikirannya daripada sebarang ancaman asing termasuk penggunaan teknologi yang mampu menyebabkan permusuhan dan perpecahan kaum. Malaysia akan meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-64 pada tahun ini dan sepatutnya kematangan telah dapat dipaparkan dari sudut kepesatan pembangunannya dan juga perkembangan sahsiah rakyatnya dan kestabilan pentadbirannya.

Malang sekali, kemerdekaan negara ini dinodai oleh oleh jiwa-jiwa yang tidak merdeka seperti mereka yang terikat dengan perasaan tamak akan mengaut keuntungan peribadi, menjadikan rasuah berleluasa di setiap peringkat kehidupan manusia dan perebutan kuasa antara pemimpin tanpa memikirkan nasib rakyat yang sepatutnya mereka bela. Betapa malunya Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman sekiranya masih hidup melihat akan apa yang sedang berlaku di negara kita kini.

Kita sedang berada dalam suasana di mana rakyat dikumandangkan dengan lagu-lagu kemerdekaan dan kibaran jalur gemilang bagi menaikkan semangat merdeka tetapi telah ia telah dicemari dengan kemelut politik yang sungguh memalukan negara ini. Di manakah silapnya?

Seharusnya Malaysia sebagai satu negara yang mempunyai beberapa ciri kepelbagaian penduduknya seperti pelbagai kaum, agama, bahasa dan tradisi, ia dapat mencambahkan keunikan yang dapat dicemburui oleh negara lain. Sifat majmuk ialah realiti yang sepatutnya direnung dan dihayati dan diraikan bersama oleh semua rakyat Malaysia.

Ditegaskan dalam al-Quran (Surah al-Hujurat ayat 13) yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan
perempuan serta Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia boleh hidup dalam kepelbagaian dengan cara yang aman dan harmoni tidak kira dalam apa jua bangsa, bahasa dan agama. Manusia boleh saling bertukar pandangan serta pengalaman, sekali gus memupuk perpaduan jitu melalui perhiasan moral dan akhlak yang terpuji. Ini hanya dapat direalisasikan oleh rakyat yang betul-betul memiliki jiwa merdeka yang sebenar dan pastinya berasa bangga menjadi anak Malaysia.

Demi menggapai jiwa merdeka dan dapat menjalin perpaduan sesama insan di Malaysia ini, peranan keluarga yang sejahtera adalah amat penting. Keluarga sejahtera yang menghidupkan rumah mereka yang didasari kepercayaan agama yang kukuh pastinya terdidik dengan nilai-nilai yang baik dalam diri.
Sebagai satu unit kecil dalam masyarakat, keluarga mencernakan pertumbuhan individu-individu yang sihat jasad, mental dan emosi yang dapat mewarnai kehidupan masyarakat tersebut.

Pemimpin keluarga perlu memainkan peranan yang penting dalam menyediakan keperluan asas, mendidik, memastikan keselamatan, memberikan kasih sayang sepenuhnya dan melaksanakan tanggungjawab kepada semua ahli keluarganya. Semua ahli keluarga pula, baik lelaki mahupun wanita mempunyai tanggungjawab bersama bagi menghasilkan peribadi yang mampu membuat pilihan yang baik, mempunyai hak bersuara untuk memberi pandangan dan hujah dalam apa jua situasi dan tiada rasa gentar mahupun gugup untuk membentangkan buah fikiran sendiri.

Keluarga yang menjaga hak setiap ahlinya pasti menimbulkan kedamaian dalam diri seseorang dan ia sekali gus membentuk kemerdekaan jiwa individu.
Kegagalan memahami konsep asas kesejahteraan keluarga boleh menimbulkan implikasi yang negatif seperti permusuhan, pergaduhan, kebencian dan seterusnya membawa kepada perpisahan dan perceraian. Akibatnya, masyarakat terkesan dan mengundang kepada kepincangan masyarakat dan negara kita yang majmuk ini.

Pendeta Agung Za’ba pula mencirikan konsep merdeka sebagai kebebasan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk oleh empat aspek utama: agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak). Aspek terpenting antara keempat-empat itu sudah tentulah agama. Menurut Za’ba, hanya dengan agama sahajalah jiwa manusia akan mengecapi kemerdekaan yang sebenar. Sekali lagi keluarga yang sejahtera pasti dapat memainkan
peranan dalam mendidik individu ini dengan pegangan agama yang teguh seawal pembentukan mereka dari dalam rahim ibunya.

Menurut Islam, kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi yang diutus oleh Allah SWT juga telah membawa kemerdekaan terhadap hamba-hamba yang lemah dan ditindas kerana kekolotan fikiran manusia yang jahil dalam agama. Dengan bertauhid dan sentiasa mengamalkan suruhan-Nya, Islam membebaskan jasad dan akal manusia daripada belenggu duniawi yang sempit dan fana.

Begitu juga ajaran dalam agama-agama lain di Malaysia amat menitikberatkan sifat toleransi dan kasih sayang, sifat yang mengunjurkan kepada kedamaian dan keharmonian hidup, bantu membantu dan patuh kepada hukum dan peraturan Tuhan. Kata-kata hikmah Confucius, “Dalam sebuah negara yang pemerintahannya bagus, kemiskinan adalah sesuatu yang memalukan tetapi dalam sebuah negara yang pemerintahannya buruk, kekayaan adalah sesuatu yang memalukan” akan amat mengesani jiwa yang merdeka.

Intihanya, manusia yang benar-benar mempunyai kepercayaan teguh kepada Tuhan tidak akan pernah berasa takut dan resah ke atas apa pun kecuali kepada Tuhannya. Oleh kerana itu, agar diri dapat meraih jiwa merdeka, maka sesiapa pun hendaknya memperbaiki hubungan dengan Tuhannya kerana sikap itu hanya boleh dibangunkan oleh dirinya sendiri, seterusnya dapat diserapkan ke dalam keluarganya dan akhirnya ke dalam masyarakat dan negaranya.

Dr Sabariah Baharun
Timbalan Ketua Wanita IKRAM
Ahli Kumpulan Fokus Keluarga Utuh
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast