Peserta Kayuhan Merdeka oleh ahli-ahli Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang di Sungai Lembing.

KUANTAN – Bagi menghayati erti kemerdekaan sekumpulan lelaki berbasikal mengayuh basikal tua sejauh 10 kilometer di tapak peninggalan sejarah di sekitar Sungai Lembing dekat sini hari ini.

Ia bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 apabila peserta menyertai Kayuhan Merdeka sambal mengibarkan Jalur Gemilang.

Timbalan Presiden Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang, Syukaihar Mohd Sa’adi berkata, peserta kayuhan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peserta paling muda berusia tiga tahun.

Program anjuran pertubuhan Kelab Pemilik Basikal klasik Pahang menglibatkan seramai 25 peserta pada tahun ini berbanding 100 penyertaan pada sebelum ini.

“Sebelum ini memang setiap tahun buat cuma disebabkan pandemik ini penyertaan dihadkan kepada 25 orang sahaja bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Kami di Pahang khusunya di Kuantan memang berdaftar ahli atau peminat basikal memang ramai.

“Masing-masing mempunyai koleksi sendiri dan daripada pelbagai latar belakang dan meluangkan masa menyertai aktiviti yang dianjurkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu mempunyai lebih daripada 100 keahlian yang aktif.

Jelasnya, bagi mengimbau kembali kenangan orang-orang lama, kayuhan basikal yang sememangnya salah satu pengangkutan utama suatu masa dulu dapat mengamit nostalgia. -MalaysiaGazette