Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Dakwaan pencalonan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai tidak layak kerana beliau masih berdepan dengan pertuduhan kes mahkamah adalah alasan tidak terpakai.

Ini kerana, pertuduhan yang dihadapi oleh Ahmad dilihat lebih menjurus atau bermotifkan politik.

Pada masa sama, terdapat beberapa lagi yang berhormat (YB) turut terpalit dengan kes yang sama tetapi tidak didakwa pun di mahkamah.

Bahkan mereka itu masih memegang jawatan dalam kerajaan, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Azmi Hassan.

“Oleh itu, selagi Ahmad atau mana-mana individu yang belum disabitkan kesalahan atas pertuduhan ke atasnya beliau berhak memegang apa-apa juga jawatan sama ada di dalam Parlimen, Jawatankuasa atau kerajaan sekali pun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Azmi Hassan

Beliau diminta mengulas mengenai pencalonan Setiausaha Agung UMNO itu sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Ahmad merupakan satu-satunya calon yang dikemukakan oleh UMNO bagi mengantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Pontian itu akan bersaing dengan calon pembangkang, Nga Kor Ming.

Namun, kes yang dihadapinya di mahkamah dijadikan polemik oleh beberapa pihak yang mendakwa jawatan yang sedang disaingi oleh Ahmad itu perlu diisi oleh calon yang mempunyai rekod baik.

Ahmad menghadapi tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberikan kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada 21 Jan 2020, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta, yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Azmi menambah, pencalonan Ahmad itu juga tidak akan mencalar kedudukan kerajaan mahupun parti UMNO itu sendiri.

Sebaliknya, ciri-ciri manifesto Ahmad iaitu yang mahu terus mengikut Perlembagaan negara dan mematuhi standing order Parlimen dengan tidak berat sebelah merupakan kriteria-kriteria yang sewajarnya ada bagi seorang Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast