KUALA LUMPUR – DAP mengalu-alukan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai penyelaras Covid-19 antara Kerajaan Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan yang akan sentiasa mendapat kerjasama lebih daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia diperlukan untuk mencari usaha bersama memutuskan jangkitan Covid-19 sehingga menyebabkan Pulau Pinang mencatatkan antara jangkitan, kematian, penggunaan katil ICU dan ventilator setiap per kapita tertinggi di Malaysia.
“Sejak sekian lama Pulau Pinang telah gagal mengatasi peningkatan jangkitan dan kematian. Walaupun barisan hadapan melakukan terbaik tetapi tidak dapat mengatasi kemarahan rakyat yang semakin meningkat kerana sumber dan tenaga kerja tidak mencukupi.
“Rasa tidak puas hati rakyat semakin meningkat terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya Exco Kesihatannya dilihat tidak berdaya melakukan sesuatu ketika rakyat menderita dan meninggal dunia tanpa mendapat sebarang bantuan.
“Antaranya daripada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), tiada jawapan panggilan telefon kecemasan, tiada ambulans tiba ketika dihubungi dan bilangan katil ICU tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Khairy Jamaluddin mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu sebagai penyelaras pengurusan Covid-19 antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan.
Pengumuman itu dibuat semasa sidang media bersama antara Menteri Kesihatan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Guan Eng juga memuji Menteri Kesihatan dan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana menerima cadangannya untuk menyelesaikan pandemik di Pulau Pinang dengan melantik Steven sebagai penyelaras Covid-19.
“Steven mempunyai tugas besar untuk cuba melakukan perubahan terhadap keadaan sekarang. Steven akan memberi enam fokus sebagai penyelaras Covid-19 iaitu menambah kapasiti sistem penjagaan kesihatan, mengurangkan masa respon bagi pesakit Covid-19 untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, penilaian dan penguatkuasaan risiko lebih cekap terutama di kilang-kilang.
“Steven juga akan memastikan bekalan vaksin stabil agar 100 peratus penduduk dewasa Pulau Pinang diberikan vaksin lengkap bulan depan, memastikan penjagaan kesihatan bagi mereka yang berada di bawah kuarantin rumah untuk mengurangkan kes kematian “Brought- In-Dead”, dan lebih ketelusan dalam statistik harian Covid-19 Pulau Pinang,” katanya.
Katanya lagi, dengan sokongan baik daripada Khairy Jamaluddin dan Chow serta memanfaatkan kepakaran profesional sektor perubatan swasta, perubahan dalam cara menguruskan Covid-19 di Pulau Pinang mungkin berjaya.
“Memenangi pertempuran melawan Covid-19 untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat bukan hanya memerlukan landasan bersama tetapi usaha keseluruhan masyarakat untuk kebaikan semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















Hari ini pandai pula kata perlu melibatkan usaha masyarakat, haritu kata semua salah kerajaan pusat kerana gagal.