Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Keluarga tahanan Benedict Thanilas yang meninggal dunia di lokap Jinjang, empat tahun lalu akan menerima kos ganti rugi sebanyak RM281,300.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan polis dan kerajaan Malaysia membayar kos ganti rugi tersebut kepada isteri dan anak perempuan mendiang, Janagi dan B Angeline, dalam tuntutan mahkamah atas kematiannya di lokap pusat polis Jinjang pada 10 Julai 2017.

Peseuruhjaya kehakiman, Quay Chew Soon memutuskan bahawa kedua-dua plaintif berjaya membuktikan saman terhadap defendan.

Sebelum ini, Janagi dan Angeline telah menyaman polis dan kerajaan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Keluarga mangsa mendakwa mendiang tidak diberikan akses kepada kepada ubat-ubatan dan rawatan perubatan lain semasa berada dalam tahanan.

Media melaporkan sebanyak 25 defendan dinamakan dalam saman berkenaan dengan 23 daripada mereka adalah anggota pasukan polis, Ketua Polis Negara (IGP), dan kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Koroner telah memutuskan kematian mangsa dapat dielak seandainya bantuan ubat-ubatan diberikan pada masa yang betul.

Mahkamah kemudian telah memerintahkan Jabatan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan susulan berhubung keputusan ini di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan terhadap anggota bertindak cuai.

Benedict, 43, meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah pada 29 Jun 2017. -MalaysiaGazette