Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Luar Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya mengenai kemungkinan wujud ancaman pengganas di Asia Tenggara sebagai tidak berasas.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau dimaklumkan amaran itu dikeluarkan dengan bersandarkan kepada laporan sebuah platform media.

“Saya aware (ambil maklum) dan taklimat perisikan tentera kepada saya bahawa ia bersandarkan satu platform media.

“IGP (Ketua Polis Negara) pun sudah buat kenyataan, ia tidak ada asas langsung berhubung kait dengan isu pengganas dan saya akan berhubung dengan Wisma Putra apa sebabnya Jepun telah mengeluarkan kenyataan itu.

“Tapi dari segi ancaman sebenar dari konteks perisikan tentera dan IGP, ia tidak menimbulkan sesuatu yang perlu kita bimbangkan di negara ini,” katanya.

Semalam, Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur mengesahkan kedutaan itu telah mengeluarkan amaran kepada warganegaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain. – MalaysiaGazette

Kedutaan Jepun sahkan keluar amaran ancaman pengganas kepada warganya di Malaysia