Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan bakul sumbangan tuala wanita ketika di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2021.

SUBANG – Kerajaan Selangor komited bersama dengan Anwar Ibrahim Club dalam jelajah Jentera Peduli Nadi Rakyat bagi membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 ke seluruh negara.

Malah, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, sebelum ini pun kerajaan negeri dengan kerjasama wakil rakyat, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat telah menghulurkan bantuan kepada rakyat.

Katanya, terbaharu, kerajaan negeri menyediakan kira-kira 1,000 makanan kepada mangsa tragedi kepala air di Yan, Kedah, selain membantu keluarga memerlukan di seluruh Selangor.

“Saya rasa sangat gembira kerana dapat berkongsi program ini untuk membantu mereka yang hidup dalam kesempitan disebabkan pandemik Covid-19.

“Kerajaan negeri menyambut baik program anjuran Anwar Ibrahim Club, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan parti PKR ini yang menjayakan program ini ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Jentera Peduli Nadi Rakyat anjuran Anwar Ibrahim Club di ibu pejabat PKR hari ini.

Program itu disempurnakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melepaskan beberapa kenderaan membawa kotak bantuan ke Pulau Pinang dan Kedah.

Mengenai gesaan Anwar agar semua wakil rakyat mengeluarkan dana sendiri membantu rakyat, Amirudin berkata, saranan itu menunjukkan kejujuran pemimpin PKR bagi memperlihatkan naluri sebenar setiap ahli politik.

“Ini menunjukkan beliau jujur untuk menampilkan wakil rakyat terutama dari pembangkang memperlihatkan naluri sebenar yang harus ditanam bagi setiap mereka.

“Budaya ini ingin kita tumpukan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan blok pembangkang umpamanya. Malah, saranan ini perlu diperbanyakkan.

“Pada saya, kalau dapat keluarkan dana dari poket kita sendiri, baharulah kita rasa kepuasan dan nikmatnya membantu rakyat yang dalam kesempitan,” katanya. – MalaysiaGazette