Dr Nik Muhammad Zawawi (dua dari kiri) bersama Zamri mendengar penerangan baja yang diguna pakai petani.

PENDANG – Penglibatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara langsung dalam sektor industri padi dan beras negara membuktikan ia mampu memperkasakan sektor pertanian negara sejajar dengan hasrat kerajaan.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) NAFAS – Petronas ini antara bukti pihaknya mampu menyediakan satu platform bagi membantu pesawah dalam aktiviti penanaman padi bermula dari sebelum tanaman sehingga tuaian hasil.

Zamri Yaakob.

Jelas beliau, kejayaan PTPB ini juga dikatakan mampu menarik golongan muda untuk menceburi bidang pertanian susulan mereka mampu meraih pendapatan tinggi.

“PTPB ini merupakan kejayaan besar buat kita, kerana sebelum ini hasil padi kira-kira dua tan metrik namun dengan PTPB ini kita lihat peningkatannya lebih 100 peratus iaitu sebanyak sembilan tan metrik.

“Kita mahu penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor penanaman padi terus dipertingkatkan sejajar dengan negara maju, di mana padi dituai lebih dua kali setahun.

“Sasaran kita kini, mahu menarik minat golongan muda termasuk wanita menyertai bidang pertanian sekali gus menjayakan sosial ekonomi serta agenda sekuriti makanan negara,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh merasmikan Musim Menuai PTPB NAFAS-Petronas di Kampung Namdam di sini, hari ini.

Dr Nik Muhammad Zawawi (tengah) menaiki jentera menuai padi pada majlis perasmian program pengurusan tanaman padi bersepadu model NAFAS- Petronas di Pendang hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Azah Hanim Ahmad dan Ketua Pegawai Pembuatan Petronas Chemical Group, Mohd Kabir Noordin.

Tambah Zamri, NAFAS juga bersedia untuk bersama MAFI dalam merancakkan penanaman padi secara berskala besar seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara iaitu daripada 70 kepada 75 peratus.

Sementara itu, Mohd Kabir berkata, pihaknya mengeluarkan baja paling efektif dengan kerjasama NAFAS dalam memastikan pengeluaran hasil padi negara meningkat.

Mohd Kabir.

Kata beliau, selain baja dua lagi inisiatif diguna pakai iaitu penggunaan dron serta khidmat nasihat daripada pakar padi bagi mencapai objektif menghasilkan petani pintar di negara ini.

“Semua sedia maklum, Petronas merupakan pengeluar kedua ammonia dan urea terbesar di Asia Tenggara sejajar dengan itu kita akan terus memperhebatkan pengajian serta menjalinkan kerjasama dengan NAFAS agar agenda nasional berkaitan isu keselamatan pembekalan makanan tercapai.

“Kita juga berharap, baja efektif dalam membantu pengeluaran padi ini akan digunakan petani seluruh Malaysia serta luar negara pada masa akan datang,” kata Mohd Kabir. – MalaysiaGazette