Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kini tidak lagi dihormati dan disanjungi orang ramai seperti dahulu, sebaliknya menganggap ia dipengaruhi serta dimanipulasi melalui korupsi politik.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, orang ramai juga merasakan Dewan Rakyat adalah cara untuk beberapa pemimpin mencari kekayaan, tanpa lagi mempedulikan rakyat yang keciciran.

“Pada pandangan orang ramai, Dewan Rakyat kini dipengaruhi dan dimanipulasi melalui korupsi politik. Mereka juga merasakan ia adalah cara memperkaya beberapa orang sahaja sementara rakyat keciciran.

“Mereka juga percaya Dewan Rakyat kini dilanda kekotoran korupsi politik, iaitu sesuatu yang tidak mudah untuk ditakrifkan kerana ia berlaku dalam pelbagai bentuk.

“Bukti berlakunya korupsi politik ini ada kalanya kelihatan dan ada kalanya tertutup dan seorang hakim ternama menyifatkan ia boleh merosakkan demokrasi negara,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, hari ini.

Menurut Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, bagi mengatasi masalah itu, perlu harus mencari jalan untuk menghapuskan ulat-ulat mengerumuni Dewan Rakyat.

Beliau mengakui tugas itu bukan senang untuk dilaksanakan, tetapi perlu memulakan dengan memastikan setiap mereka mengamali politik betul dan buruk.

“Cara ini akan membantu kita dalam menentukan amalan dasar-dasar betul, baik dasar ekonomi mahupun dasar kesihatan ataupun pendidikan. Politiklah yang akan menentukan apakah dasar ini dan bagaimana ia harus dilaksanakan.

“Sekiranya politik terjebak di jaringan korupsi, segala kenyataan dari mulut-mulut di Dewan Rakyat tiada gunanya kepada rakyat.

“Aktiviti politik kita dengan parti-partinya hendaklah bergerak dengan betul. Oleh kerana inilah asas kewujudan negara kita,” katanya.

Ku Li merujuk kepada makalah nukilan Prof Shamsul Amri Baharuddin yang disiarkan sebuah akhbar tabloid pada 13 Januari, mengenai kemerosotan UMNO dan ketidakupayaannya membetulkan kesilapan serta kesukaran untuk terus menerus menjadi relevan kepada orang Melayu.

Ujar beliau, penulis itu mendakwa UMNO berpecah belah dan tidak mempunyai kepimpinan yang mampu menyelesaikan krisis seperti diperlukan negara.

Namun, katanya, beliau tidak bercadang untuk bertentangan pendapat dengan profesor itu, tetapi baginya ia memerlukan pencerahan.

“UMNO yang beliau maksudkan itu bukannya UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946, UMNO itu merentasi beberapa peringkat perkembangan termasuklah perubahan asas visinya terhadap orang Melayu.

“UMNO itu merangkumi segala-galanya dan ia juga komited terhadap demokrasi berperlembagaan serta pemerintahan berlandaskan undang-undang.

“Rentetan sejarah menunjukkan bahawa nasionalisme Melayu memainkan peranan progresif dan UMNO banyak dipengaruhi oleh idea sejagat,” katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO faham bahawa mutu kepimpinan merupakan asas dalam mencapai matlamat parti untuk berkhidmat kepada negara dan tugas kepimpinannya.

Kata Ku Li, pemimpin yang dipilih sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian atau nasional adalah berdasarkan integriti, keluhuran, kebolehan, pengetahuan serta keupayaan memikul tanggungjawab kepimpinan tersebut.

“Di samping menonjolkan wawasan masa hadapan orang Melayu dan kedudukan mereka dalam masyarakat Malaysia. Perlu diingatkan bahawa wasasan tidak dibeku, jauh sekali bersandarkan kepada keperibadian seseorang,” katanya. – MalaysiaGazette