Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – UMNO adalah sebuah parti politik kebangsaan terulung yang ditubuhkan pada 1946, tetapi mula mengalami kemerosotan pada era pengharamannya tahun 1988, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, akibat pengharaman itu tertubuhnya sebuah parti UMNO lain yang dinamakan UMNO baharu.

Kini, katanya, terdapat pandangan dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu bahawa parti politik itu berada dalam keadaan kucar-kacir dan kegagalan, malah peranan UMNO pada masa lalu amat penting.

Menurutnya, walaupun ada pihak menganggap UMNO sekarang berada dalam keadaan sangat genting akibat perpecahan dan sukar diselesaikan, itu bukan parti Melayu yang ditubuhkan 75 tahun lalu.

“Pengharaman Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1948 membawa titik perubahan terhadap politik negara ini dengan penghijrahan beramai-ramai ahli PKMM ke UMNO.

“Perubahan terhadap keahlian ini menghasilkan kesan penting kepada parti dengan kemasukan nilai-nilai ideal. Bagaimanapun, para sejarawan belum mengkaji kesan perubahan ini.

“Hanya UMNO menjadi semakin nasionalistik dengan pengwujudan rancangan ekonomi dan sosial untuk memajukan kaum Melayu. Ia berjaya menarik yang terbaik dan paling cerdik untuk menerajui UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi perbahasan menjunjung kasih ucapan terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, petang ini.

Menurut Tengku Razeleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, dengan perkembangannya ke setiap pelosok, bermulanya pensejarahan hebat UMNO sebagai badan mewakili orang Melayu dengan visi sejagat.

Katanya, ahli dan pemimpin memperkukuh kedudukannya dengan sumbangan kewangan, di samping ahli amat menghormati para pemimpin dengan sifat ketulusan dan integriti mereka.

Namun, sayangnya, kata beliau, pada 1988 iaitu 42 tahun selepas tertubuhnya parti kesayangan orang Melayu itu, UMNO diharamkan.

“Ia merupakan suatu keputusan aneh dan tidak masuk akal. Ketika itu UMNO adalah parti pemerintah dengan tiga juta ahli, parti berkuasa yang dipilih menurut peraturan perlembagaan.

“UMNO lah kerajaan dan ia tidak sekali-kali boleh, waima atas sebab apa pun, diisytihar menyalahi undang-undang dan dibatal pendaftarannya.

“Keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia itu tidak berasaskan undang-undang, tetapi berlandaskan politik demi menyokong kepimpinan semasa,” tegasnya.

Menurut Ku Li, apa yang berlaku telah menjadikan orang Melayu kaku dan dalam pada itu sebuah parti baharu dengan nama sama telah dibentuk oleh mereka yang bertanggungjawab terhadap pembatalan UMNO.

Jelaslah, katanya, sekarang UMNO diisytihar menyalahi undang-undang dan dibatal pendaftarannya demi tujuan tersirat untuk mendapatkan kepimpinannya secara tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang.

“Keputusan ini tidak sah. Ia sebenarnya penyalahgunaan kuasa politik.

“Walaupun UMNO diharamkan, saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan UMNO asal. Saya pernah bertanding jawatan Presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan untuk UMNO yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat.

“Saya ini sebahagian asal daripada parti UMNO di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan UMNO dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional,” katanya.

Tambahnya, beliau ada menyatakan sebelum ini, segala yang berlaku adalah rampasan kuasa ‘melalui sistem undang-undang dan institusi kita yang lemah”.

Ini ujar beliau, merupakan peringatan bahawa ketulusan serta integriti dan kebebasan ‘sistem undang-undang dan institusi kita’ daripada kuasa politik semasa tidak seharusnya dikompromi.

Sekiranya dikompromi, katanya, Perlembagaan Malaysia tidak mempunyai erti sebagai peralatan demokrasi dan demokrasi kita pasti lumpuh dan akhirnya pupus. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bila dah tubuh Semangan 46 dan menjadi Presiden parti tersebut, secara automatik tergugurlah keahlian UMNO. Itu pun tak kan Pak Ku tak faham atau sengaja buat buat tak faham atas ketelanjuran Pak KU tubuhkan Semangat 46. Sejarah tidak pernah berbohong. Yang berbohong adalah pelaku pelakunya. Pak Ku kena ingat, masa tidak boleh kembali dan apa yang telah terjadi ianya tetap terjadi. Akuilah kesilapan. Memang Dr Mahathir juga ada melakukan kesilapan, cumanya bagaimana nak menyakinkan generasi baharu bahawa kerosakan yang dibuat oleh Pak Ku dan Dr Mahathir, siapa yang lebih banyak buat silap.

Comments are closed.