Andi Bernadee. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Andi Bernadee memaklumkan kenalan rapatnya yang didakwa menipu duitnya baru-baru ini telah ditahan reman pada minggu lalu.

Andi Azrul Andi Mapangile, 29, berkata, individu berkenaan ditahan reman selama tiga hari dan kes tersebut masih lagi dalam peringkat siasatan.

“Suspek dah direman selama tiga hari pada minggu lalu. Mengenai wang yang ditipu itu pula, saya anggap ia bukan rezeki saya.

“Bagi saya duit itu boleh dicari, tetapi saya bersyukur perkara ni terjadi kat saya lebih awal sebelum saya dapat job lain yang lebih besar. Saya terima seadanya,” katanya ketika sesi sidang media secara virtual bersama barisan pelakon drama Perisik Cinta Tak Diundang, pada Isnin.

Untuk rekod, Andi Bernadee sebelum ini membuat laporan polis terhadap seorang individu yang juga ‘kawan rapatnya’ kerana didakwa pecah amanah membabitkan wang bernilai RM70,000.

Pelakon berkenaan mula mengenali individu tersebut pada tahun 2019 dan kemudian dia menguruskan segala urusan mengenai perjalanan seninya.

Andi mendakwa menyedari penyelewengan itu selepas bertanya kepada klien mengenai bayaran yang disangka belum diterima.- MalaysiaGazette