Shahidan dan Khalid di Dewan Rakyat
Shahidan dan Khalid di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Sesi penggulungan Titah Diraja Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim hangat petang ini ekoran ‘diserang’ mantan menteri, Khalid Samad.

Semuanya bermula apabila Shahidan yang menggulung perbahasannya menyentuh penjualan tanah di Jalan Peel dan diganggu oleh Ahli Parlimen Shah Alam (PH) yang bertanyakan mengenai modal berbayar RM100 oleh syarikat Evermark Realty Sdn Bhd yang membeli tanah berkenaan.

“Adakah menteri menafikan bahawa syarikat itu hanya mempunyai modal berbayar lebih kurang RM100 sahaja dan merupakan jiran dan anak saudara kepada Menteri Wilayah Persekutuan,” dakwa Khalid.

Berhubung modal berbayar yang dibangkitkan Khalid, Shahidan berkata, ia  tidak tepat.

Syarikat berkenaan telah membuat penambahan modal berbayar sebanyak RM2 juta.

Shahidan terus diasak dengan pertanyaan kedua Khalid yang mendakwa modal berbayar syarikat itu ditambah pada Mei lalu.

“Boleh tanya di mana-mana tempat dan saya akan jawab. Soal minit dan soal anak saudara saya menyimpan ini sebagai satu rahsia pejabat yang perlu dijaga.

“YB juga pernah membuat minit lulus kepada 26 ekar tanah tapi saya diamkan itu,” jawab Shahidan.

Khalid  bangun dan mencabar Shahidan untuk mendedahkan kelulusan 26 ekar tanah yang didakwa.

“Sila kemukakan, 26 ekar tanah dimana?” soal Khalid.

Shahidan bagaimanapun enggan untuk mendedahkan dakwaan itu.

“Saya rasa tidak perlu. Jadi ini adalah berhubung dengan syarikat yang saya tidak mahu sebut nama di sini sebab ianya menyentuh kepada perniagaan mereka, ini adalah sesuatu yang tidak adil.

“Jangan sentuh tentang minit kelulusan sebab mantan menteri juga banyak buat minit tapi itu kita diamkan,” katanya lagi.

Sebelum ini di Dewan Rakyat, Khalid mendakwa Kementerian Wilayah Persekutuan mengamalkan dasar ‘kayakan jiran kamu’.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, semasa menjawat jawatan itu, dasar tersebut tidak diamalkan dan ia hanya dipraktikkan selepas itu.

Dalam pada itu, Khalid turut menimbulkan persoalan mengenai isu berkaitan status pemilikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Menjawab kepada itu, Shahidan berkata, stadium tersebut telah disewakan kepada Tetuan Arcadin Services Sdn Bhd iaitu syarikat yang memiliki 50 peratus saham dalam penswastaan pasukan KL United FC.

Stadium itu disewa selama tiga tahun mulai 1 Julai 2021 sehingga 30 Jun 2024 bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dengan pulangan kadar sewa kepada DBKL berjumlah RM25,000.00 sebulan.

Khalid yang tidak puas hati dengan jawapan Shahidan  mendakwa kenyataan yang dibuat itu tidak benar.

“Jawapan itu tidak betul kerana syarikat itu tidak lagi memiliki saham 50 peratus itu. Pemilik syarikat ini adalah jiran kepada menteri pada ketika itu, saya rasa menteri sekarang siasat dan dapatkan maklumat dengan lebih tetap,” katanya.

Pertikaman lidah antara Khalid dengan Shahidan terus berlaku apabila penggulungan titah diraja Menteri Wilayah Persekutuan itu menyentuh mengenai pembangunan Kampong Baru.

Shahidan berkata, pelaksanaan pembelian keseluruhan tanah di Kampong Bharu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM7 bilion tidak pernah dipohon dan diluluskan oleh kerajaan sebagai sumber kewangan untuk pembelian tersebut.

“Maklumat kos ini telah dibentangkan melalui Nota Jemaah Menteri pada 8 September 2020 dan didapati pembelian tanah ini melibatkan kos yang tinggi dan tiada model pembiayaan dan tiada sumber dana diperuntukkan bagi pembelian tanah tersebut.

“Oleh yang demikian, pendekatan pelaksanaan tawaran yang dibuat pada ketika itu adalah tidak berlandaskan kepada mana-mana sumber peruntukan daripada kerajaan,” kata Shahidan.

Khalid turut tidak puas hati dengan penjelasan itu berkata; “Masalah di Kampung Bharu bukan soal duit, ia boleh diperoleh banyak sumber kewangan yang penting adalah persetujuan untuk menjual.

“Inilah yang diusahakan oleh kementerian ketika itu tetapi dihentikan apabila Pakatan Harapan dijatuhkan,” katanya.

Khalid berkata sepatutnya sehingga Jun 2020, sasaran 80 peratus persetujuan untuk menjual tanah di Kampung Bharu.

Ekoran itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun meleraikan perbalahan dengan meminta untuk Shahidan mengakhirkan penggulungannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast