Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Johor akan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, perkara itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini.

“Perdana Menteri telah bersetuju agar Johor terlibat secara langsung bukan hanya isu pembukaan sempadan, tetapi juga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperlukan berhubung pergerakan rentas sempadan.

“Antara isu yang memerlukan bantuan kerajaan negeri termasuklah mendapatkan senarai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan telah divaksin di sana tetapi belum dikemaskini dengan MySejahtera.

“Antara isu lain yang memerlukan ‘sentuhan’ kerajaan negeri termasuklah pergerakan keluar masuk lori membawa bekalan ke Singapura melibatkan pemandu lori yang perlu menjalankan ujian pemeriksaan kit ujian pantas (RTK),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama pemimpin kerajaan negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Tambah beliau, isunya ketika ini adalah mendapatkan persetujuan Singapura bagi membincangkan SOP yang dikemukakan memandangkan negara itu sedang mengalami peningkatan kes baharu Covid-19.

Pada 7 September lalu ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Johor, Hasni meminta agar wakil kerajaan negeri dilibatkan dalam jawatankuasa khas perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Beliau dilaporkan berkata, hal itu penting kerana pembukaan sempadan Johor-Singapura merupakan komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

Sementara itu, Hasni turut memberitahu, antara SOP yang dikemukakan pihaknya termasuklah pengiktirafan sijil vaksin, bentuk saringan yang perlu dibuat dan tempoh laku ujian berkenaan selain sistem yang perlu dipersetujui kedua-dua negara.

“SOP ini telah dibincangkan semasa pertemuan tadi dan saya harap ia akan dapat dibentangkan secepat mungkin,” jelasnya.- MalaysiaGazette