Noraini Ahmad beramah mesra dengan penduduk selepas Program Libatsama Misi Bantuan Pasca Bencana Yan UTM Techmission 2021 di Kampung Bukit Tumboh,Yan, Kedah. Foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2021.

YAN – Pemulihan infrastruktur termasuk sistem saliran di daerah ini dan Kuala Muda yang terjejas akibat fenomena kepala air pada 18 Ogos lalu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerja pemulihan yang menelan kos sebanyak RM180 juta itu akan dilakukan secara berfasa iaitu pelan pemulihan Fasa 1 bermula tahun ini sehingga tahun 2024 dan penyelesaian projek secara keseluruhan dijangka siap pada tahun 2026.

Jelas beliau, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan pada 27 Ogos lalu bagi membuat semakan kos pembinaan berdasarkan keadaan sebenar sungai dan kemusnahan di tapak yang memerlukan kerja-kerja tambahan seperti penjajaran semula jalan sedia ada.

“Beberapa agensi kerajaan juga sedang melakukan kajian pemetaan bencana aliran sisa awalan bagi mengenal pasti kedudukan bahan geologi seperti batuan dasar yang kukuh dan koluvium di kawasan pinggiran tebing sungai laluan aliran sisa.

“Maka, sebarang cadangan pembinaan struktur di atas kawasan ini perlulah merujuk kepada maklumat ini kerana pembinaan struktur yang besar di atas bahan koluvium akan memberi masalah kestabilan.

“Ini kerana bahan koluvium adalah longgar dan mudah terhakis. Maklumat ini akan membantu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran dalam perancangannya untuk membina empangan Sabo,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama Suraya meninjau pelaksanaan projek pemasangan paip air polimer sepanjang 4,000 meter oleh Universiti Teknologi Malaysia  bagi membekalkan air bersih kepada 500 buah keluarga yang terjejas di Kampung Setol di sini.

Mengulas lanjut, Suraya berkata, pembinaan empangan Sabo bernilai RM20 juta bagi Fasa 1 di Gunung Jerai di sini adalah untuk memastikan pokok-pokok yang tumbang serta batu-batu besar tidak menghilir sekiranya aliran air deras berlaku.

Setakat ini, pembinaan dua empangan Sabo di dua lokasi kritikal dicadangkan oleh pihak Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Kata beliau, pembangunan sistem amaran awal tanah runtuh dan aliran sisa atau kepala air di kawasan strategik turut diperlukan.

“Pelaksanaan ini dijangka mengurangkan risiko ancaman bencana geologi dan juga memastikan ia dapat diurus dengan baik pada masa akan datang.

“Antara penyelesaian menyeluruh lain yang dicadangkan, meliputi kerja pembinaan floodwall, river protection, pembinaan tiga buah jambatan, pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai, pembinaan baharu bagi satu pintu air dan menaiktaraf enam pintu air yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM180 juta.

“Bencana banjir lumpur dan fenomena kepala air ini telah mengakibatkan tebing sungai terhakis malah, menyebabkan kelebaran sungai di Titi Hayun bertambah iaitu daripada 10 meter kepada 25 meter, sekali gus menjadikan faktor anggaran kos pembinaan ini agak tinggi,” kata Suraya.

Dalam perkembangan sama, Suraya berkata, satu jawatankuasa pengurusan risiko bencana Gunung Jerai akan dibentuk dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, jawatankuasa itu dibentuk bagi melindungi 5,000 nyawa orang awam di sekitar kawasan Gunung Jerai serta melindungi kawasan seluas 600 hektar dari impak bencana banjir kepala air dari kembali berulang pada masa akan datang.

“Selepas kita dapat kajian daripada pakar teknikal daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat jawatankuasa itu akan dibentuk.

“Penubuhan jawatankuasa ini penting bagi menguruskan risiko dan pelaksanaan operasi bencana di kawasan sekitar Gunung Jerai secara efektif bagi memastikan keselamatan nyawa orang awam dan harta benda awam dapat diselamatkan,” kata Suraya.

Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk tempatan terkorban dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh.

Selain itu, sebanyak 1,732 kediaman, 124 premis dan 14 pengusaha chalet pelancongan desa turut terkesan dalam fenomena tersebut. – MalaysiaGazette