Aziz Jamaluddin Mohd Tahir

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassin dan bekas penyandang jawatan itu Tan Sri Annuar Musa diminta tampil memberi penjelasan berhubung pemberian hak pembangunan tanah di Jalan Peel, di sini.

Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Aziz Jamaluddin Mohd Tahir berkata, ini kerana tanah seluas 2.9 ekar itu didakwa diberikan kepada syarikat salah seorang pengarahnya yang bukan sahaja merupakan seorang jiran malah, merupakan anak kepada kakak Ahli Parlimen Ketereh yang pada ketika itu merupakan Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurut Aziz, pihaknya terkejut dengan pendedahan yang dibuat oleh bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhubung perkara berkenaan yang disiarkan menerusi sebuah laman portal baru-baru ini.

“Syarikat yang didakwa juga dikatakan hanya mempunyai modal berbayar RM100 sahaja tetapi diberi hak membina 2.9 ekar bersamaan 126,324 kaki persegi tanah yang jika sekurang-kurangnya nilai harga RM300 sekaki persegi bagi tanah terbabit, anggaran nilainya adalah lebih daripada RM37 juta.

“Bagaimana keputusan berikut boleh dibuat melainkan ada campur tangan pihak tertentu untuk memberi hak kebenaran membangun tersebut? katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berdiam diri sebaliknya, perlu membuat siasatan segera berhubung perkara tersebut.

Ujarnya, integriti seorang pemimpin dilihat daripada setiap keputusan dan tindakan yang telah dilakukan, bukan dengan mengabaikan dan lari dari sebarang dakwaan.

Tegasnya, mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab dan disiasat secara menyeluruh tanpa ada pilih kasih walaupun mereka itu bertaraf menteri. – MalaysiaGazette