Maryam yang baru berusia 11 tahun telah memenangi tiga pingat emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta yang berlangsung di Kanada bulan lepas.- Gambar portal Era.

KUALA LUMPUR – Murid Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan di Pahang yang baru berusia 11 tahun telah memenangi tiga pingat emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta yang berlangsung di Kanada bulan lepas.

Maryam Muzamir mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah mencipta inovasi sejenis makanan haiwan baharu yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut dengan menamakan produk itu Yam 2.0.

Pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 adalah pertandingan inovasi dan rekacipta terbesar di benua Amerika Utara yang diadakan setiap tahun tetapi tahun ini secara dalam talian pada 28 Ogos lalu akibat pandemik Covid-19.

Malah, bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan berbangga dengan pencapaian anaknya dan tidak menyangka Maryam akan memenangi anugerah di pertandingan itu.

“Maryam memenangi pelbagai anugerah pada tahun ini dan tahun lalu untuk produk Yam 2.0. Jadi, melalui pencapaian itu saya meyakinkan Maryam untuk membawa produk inovatifnya ke pentas antarabangsa.

“Usahanya berhasil apabila berjaya memenangi tiga pingat emas di İCAN 2021 dan Maryam mengalahkan 600 peserta lain dari 70 negara,” katanya dipetik dari portal Era.

Maryam mempunyai minat yang mendalam dalam bidang berkaitan dan ideanya timbul apabila melihat banyak sisa-sisa buangan dari restoran seperti kulit atau cengkerang makanan laut.

Susulan itu, Maryam bertindak melakukan beberapa ulangkaji dan membaca beberapa artikel mengenai kebaikan kerang makanan laut yang mengandungi ‘chitin’.

“Bermula dari situ Maryam merancang inovasi dengan mencipta ramuan sendiri sehingga usahanya membuahkan hasil.

“Pada bulan Jun tahun lalu, kami berbincang dengan pengurus kedai makanan laut untuk memberikan kulit udang dan cengkerang kepada kami daripada membuangnya. Pengurus makanan bersetuju, dan saya bertekad untuk berjaya,” katanya.

Malah, kemenangan adik Maryam juga dapat penghargaan dari James Corden yang berkongsi kisahnya di rancangan bual bicaranya The Late Late Show with James Corden.

Kejayaan Maryam mendapat pujian ramai termasuk Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan beberapa menteri lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast