SHAH ALAM – Program pemberian vaksin untuk remaja (PICK-Remaja) telah bermula di Selangor dengan beberapa sekolah dalam daerah Kuala Selangor mula divaksinasi sejak 23 September lalu.
Program yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor sehingga 29 September ini.
Menurut laporan PKD Kuala Selangor menerusi hantara Facebooknya, remaja berumur 16 dan 17 tahun itu melibatkan beberapa sekolah di daerah berkenaan yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Peserta perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga, membawa kad pengenalan diri, borang persetujuan suntikan vaksin dan tidak dibenarkan hadir tanpa janji temu.
Antara yang sudah divaksinasi ialah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SMK Seri Desa, Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Selangor, SMK Sultan Sulaiman Shah, SMK Seri Tanjung dan SMK Rantau Panjang pada 23 September lalu.
Manakala pelajar dari Kolej Tingkatan Enam, Sekolah Agama Menengah (SAM) Jeram, SMK Tiram Jaya dan SMK Raja Muda Musa selesai pada 24 September).
Esok khusus untuk pelajar SMK Dato Harun, SMK Sungai Burong, SAM Tanjong Karang dan SMK Puncak Alam 3; diikuti lusa 28 September melibatkan pelajar SMK Puncak Alam, SMKA Kuala Selangor dan SMK Jeram.
Pada 29 September pula, untuk Murid Berkeperluan Khas (PPK) dan murid dengan komorbid yang disahkan doktor, Sekolah Menengah Islam (SMI) Hira dan Maahad Tahfiz serta Pondok Madrasah.
Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Bilik Gerakan Vaksin Covid-19 di talian 03-328 12309 atau 013-891 0041. – MalaysiaGazette