KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) membantah tindakan kerajaan menambah kekerapan cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali sepanjang tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, bantahan itu dibuat kerana judi bukan sesuatu yang sihat untuk rakyat Malaysia berbilang agama dan bangsa.
“Kita kecewa dengan pengakuan dinyatakan Menteri Kewangan di Parlimen baru-baru ini, yang mengesahkan keputusan kerajaan menambah kekerapan cabutan khas agensi nombor ramalan.
“Kita menyatakan bantahan terhadap perkara ini kerana judi membawa lebih banyak mudarat kepada rakyat yang akan terpalit dengan kegiatan perjudian dalam kehidupan mereka.
“Dari sudut pandang Islam, sudah jelas sekali judi itu walaupun ada yang diberi lesen oleh kerajaan, hukumnya adalah haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Halim menegaskan, PUM mendesak kerajaan agar membatalkan keputusan itu termasuk menghapuskan segala bentuk perjudian bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara, tidak kira apa agama sekalipun.
Kata beliau, kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah sama, iaitu membanteras segala bentuk perjudian di negeri masing-masing.
“Ini kerana kami mendapat maklum terdapat juga pertambahan bilangan tempat perjudian di negerinegeri tertentu, sama ada yang diwujudkan secara haram mahupun yang diberikan lesen operasi.
“Marilah sama-sama kita bergerak ke arah membentuk Keluarga Malaysia yang lebih sejahtera dengan menghapuskan judi,” katanya. – MalaysiaGazette