KUALA LUMPUR – Bakal bapa yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan menemani isterinya bersalin di hospital.
Arahan itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.
“Saya telah minta @GDHisham untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi dan menjalankan ujian Covid-19 dan negatif untuk menemani isteri mereka dalam bilik bersalin,” katanya menerusi Ciapan Twitternya, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam responsnya kepada netizen yang meminta kebenaran untuk menemani isteri mereka ketika dalam proses bersalin.
Menurut netizen @Afiq Qifa, isterinya hampir hendak bersalin anak sulung dan mereka berdua sudah lengkap vaksin dua dos.
Tulis beliau, sekiranya dibenarkan masuk menemani isterinya bersalin dan diarahkan memakai pakai baju angkasawan pun dia sanggup.
Netizen @hanaa Funuu pula mengucapkan terima kasih kepada menterinya atas sifat prihatin itu.
Dia yang bertugas sebagai jururawat memaklumkan, dengan kehadiran suami di sisi isteri dapat melegakan perasaan ibu bersalin.
“Terima kasih menteri kami. Terima kasih Dr. Noor Hisham. Walaupun kami jururawat, tapi apabila seseorang isteri hendak bersalin, dia lebih memerlukan suami berada di sebelah.
“Sebab kita tahu macam mana keperluan seorang suami sebagai peneman isteri di kala sakit,” katanya. – MalaysiaGazette