Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Pembangkang menyatakan kesanggupan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasakan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang diwujudkan sepanjang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (PH) berkata, kerajaan  Pakatan Harapan sebelum ini telah melaksanakan sistem wakaf dengan cara baik dan teratur sebelum kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) mengambilalih pada Mac 2020.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil konsep yang dilaksanakan oleh kerajaan PH bukan meneruskan kesinambungan sebelum ini yang dilihat ideanya masih ditakuk lama berhubung kegunaan wakaf.

Menurutnya, apabila bercakap mengenai wakaf, kerajaan mengulangi perkara sama seperti tanah dan program, sedangkan kerajaan PH telah melakukan jauh ke depan dalam membantu ekonomi rakyat miskin melalui wakaf.

“Yayasan Wakaf Malaysia dan Jauhar antara agensi bawah kerajaan ini harus diperkasakan. saya percaya jika dilakukan dengan betul, ia merupakan amal soleh yang pahalanya tidak habis di situ, malah berterusan sepert sungai mengalir.

“Sebab itu undang-undang wakaf ini amat penting kerana akan memberikan satu garis panduan bagaimana hendak mengembangkan instrumen wakaf sebagai satu insrumen ekonomi Islam.

“Oleh itu, sistem wakaf dalam dua agensi itu perlu diperkasa dan dilihat bagaimana ia sebenarnya boleh mengatasi masalah kemiskinan jika dilakukan dengan betul,” katanya dalam sesi perbahasan RMK-12 di Parlimen, hari ini.

Menurut Fuziah, kerajaan PH sebelum ini melakukan program membasmi kemiskinan adalah menggunakan wakaf dan zakat.

Katanya, ia digunakan untuk memastikan rakyat miskin ini mendapat akses pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kediaman yang selesa.

“Bukan setakat Baitumal yang simpan duit zakat, tetapi kita boleh gunakan itu untuk selamatkan sekolah daif, membina hospital dan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast