Ahmad Zahid Hamidi corruption trial Yayasan Akalbudi foundation
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menemplak Ahli Parlimen (PH-Jelutong), RSN Rayer yang mendakwa beliau mempunyai simpanan di dalam akaun bank di luar negara.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, persoalan yang dibangkitkan oleh Rayer merupakan kisah lama ketika beliau berada dalam sektor korporat yang tersenarai dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Menurut Ahmad Zahid, syarikat yang diketuainya itu mempunyai pelaburan di sebuah negara besar dan mempunyai konsesi untuk melaksanakan Perancangan Perlindungan Pelaburan (IPP) ketika itu.

“Apa yang dikatakan oleh Jelutong itu adalah ketika saya berada dalam sektor korporat bila saya menjadi CEO kepada sebuah syarikat yang tersenarai, dan ketika itu syarikat yang saya ketuai mempunyai pelaburan di sebuah negara besar dan mempunyai konsesi untuk melaksanakan IPP ketika itu.

“Keuntungannya tidak dapat dibawa keluar sebaliknya diminta untuk dilaburkan semula di negara berkenaan tentunya sebagai syarikat yang tersenarai mahu supaya dividen diberikan kepada pemegang saham.

“Dan kini syarikat yang didaftarkan atas nama syarikat yang tersenarai atas nama itu pun sudah tidak ada lagi. Jadi, jangan sangka saya yang jenis macam YB Jelutong mahu melarikan diri daripada cukai, terima kasih,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Rayer ketika mencelah ucapan Ahmad Zahid pada sesi perbahasan RMK-12, secara sinis menanyakan sama ada Presiden UMNO itu bercadang untuk membawa balik wang yang didakwa disimpan di sebuah bank di British Virgin Island.

Rayer bertanyakan mengenai perkara itu berdasarkan laporan akhbar, Pandora Papers Leaks mengenai perkara tersebut.

Katanya, beliau tertarik mendengar ucapan Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri mengenai RMK12 berkaitan ekonomi sehingga mendorong untuk bertanyakan soalan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast