Dion-Johan Cools.

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan negara yang beraksi di Denmark, Dion-Johan Cools mencetuskan persoalan.

Ini kerana namanya tersenarai sebagai pemain simpanan untuk bertemu Aarhus Gymnastikforening atau AGF semalam selepas FC Midtjylland telah memuat naik senarai kesebelasan utama pasukan itu.

Perkara itu mengundang persoalan kepada penyokong skuad kebangsaan Malaysia mengenai status kecederaan yang dialami oleh Dion Cools sama ada benar atau tidak.

Dia didakwa mengalami kecederaan sehingga terpaksa digantikan dengan pemain lain untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober ini dan Uzbekistan pada 9 Oktober ini, kedua-duanya berlangsung di Amman, Jordan.

Khamis lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan dua pemain pertahanan iaitu Muhammad Ariff Farhan Md Isa dari Kedah Darul Aman FC dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni dari Terengganu FC telah dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Mereka dipanggil bagi menggantikan tempat pemain pertahanan Selangor FC, Syahmi Safari dan Cools yang disahkan tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini kerana kecederaan. – MalaysiaGazette

 

Cools