Datuk Rizal Mansor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018.
Datuk Rizal Mansor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan dalam kes rasuah solar hibrid, Datuk Rizal Mansor disifatkan sebagai seorang yang tidak cekap, suka menghilangkan diri waktu kerja.

Malah Rizal yang pernah menjadi pembantu khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor didakwa tidak mempunyai kualiti kerja memuaskan sehingga memerlukan pemantauan bagi memastikan tugasan diselesaikan dengan baik.

Itulah yang diluahkan oleh Rosmah ketika membaca penyataan bela diri dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Dakwa Rosmah, dirinya tidak pernah berpuashati dengan mutu kerja Rizal malah tidak pernah memiliki sebarang hubungan rapat dengannya.

Sebaliknya beliau hanya akan berurusan dengan pegawai atasan, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod secara terus.

“Dia bukanlah seorang pekerja yang cekap dan bertanggungjawab malah tidak dapat menulis teks-teks ucapan saya dengan baik. Saksi (Rizal) mempunyai masalah disiplin di dalam pekerjaan di mana beliau sering kali ‘hilang’ semasa bekerja.

“Saya memang tidak berpuas hati dengan mutu kerjanya kerana beliau boleh saya gambarkan seperti ‘pahat dengan penukul’, yang bermaksud dia perlu sentiasa dipantau dan diperiksa untuk mengelak lalai daripada menyiapkan tugasannya.

“Saya juga selalu mendengar rungutan Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan pegawai-pegawai lain berkenaan sikap Rizal yang culas dan sambil lewa dalam pekerjaannya,” dakwanya hari ini.

Rizal pada awalnya didakwa bersama-sama Rosmah namun dilepas dan dibebaskan pada 8 Januari tahun lalu dan seterusnya dipanggil sebagai saksi utama pendakwaan (SP21) memberi keterangan pada perbicaraan projek solar bernilai RM1.25 bilion itu.

Kata Rosmah lagi, sepatutnya beliau menjadi saksi pendakwaan untuk mendakwa Rizal dan bukan sebaliknya memandangkan ketiga-tiga terhadapnya adalah fitnah serta keterangan palsu Rizal.

“Yang Arif, saya sepatutnya menjadi saksi pendakwaan terhadap PW21 (Rizal), dan bukan sebaliknya. PW21 dengan jelas mengaku bersalah atas tuduhan terhadapnya, ketika memberi keterangan bersumpahnya di mahkamah ketika perbicaraan kes ini terhadap saya.

“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh PW21 ini sangat tidak berasas dan mengejutkan saya. Antaranya dengan mengatakan saya mempunyai kepercayaan tinggi terhadap PW21 ini sangat tidak benar.

“Dia hanyalah seorang Pegawai Media berkontrak dan mempunyai tugas hakiki di dalam perjawatannya. Jika saya berhubung dan bertemu dengannya adalah dalam skop perjawatannya dan bukanlah sebab kononnya saya mempunyai kepercayaannya yang tinggi terhadapnya.

“Bukan itu sahaja, saya tidak pernah mengarahkan dia menubuhkan pasukan cybertroopers yang kononnya untuk menangkis dan memberikan penjelasan ke atas setiap fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap saya kepada orang ramai.

“Apatah lagi dakwaan PW21 kononnya saya memberikan wang tunai RM100,000 setiap bulan kepadanya untuk membiayai pasukan tersebut. Saya nafikan sama sekali.

“Apa yang dikatakan oleh PW21 ini adalah fitnah kepada saya dan bertujuan untuk memburuk-burukkan imej dan nama baik saya. Saya ingin tegaskan, sampai ke sudah PW21 tidak mengemukakan apa-apa bukti mengenai dakwaan-dakwaan tersebut.

“Ini jelas merupakan agenda jahat PW21 untuk mencemarkan nama baik saya, selepas pertuduhan-pertuduhan,” tegasnya.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui Rizal. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pembelaan dakwa Rizal beri keterangan palsu perangkap Rosmah