Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin (dua kanan) diiringi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil (dua kiri), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (kiri) pada sidang media mengenai krisis DUN Melaka di Pejabat Presiden PKR, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mendakwa beliau dihalang daripada memasuki pusat khidmat masyarakat kawasannya di Melaka.

Wakil rakyat bebas dan mantan ahli DAP itu mendakwa arahan itu dipercayai daripada pihak tertentu dalam kerajaan negeri sebelum ia terbubar baru-baru ini.

Beliau berkata, kemudahan kerajaan itu tidak sepatutnya ditarik balik meskipun Melaka tiada lagi wakil rakyat dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Bila tak ada wakil rakyat, tak ada Exco, kita masih ada kemudahan kerajaan seperti di Melaka, kita ada pusat khidmat masyarakat.

“Itu pun tidak bagi kita masuk, dan (mereka) nak ambil balik,” katanya pada sidang media di pejabat Presiden PKR di Bukit Gasing, Petaling Jaya malam ini.

Selain itu, Norhizam juga mendakwa, beliau dan dua lagi bekas Exco Melaka diarah untuk memulangkan kenderaan rasmi sedangkan enam lagi bekas Exco pro UMNO masih tidak berbuat demikian.

“Kereta rasmi itu kita boleh pulangkan tapi tiga bekas Exco ini terpaksa pulangkan kenderaan rasmi, enam (Exco) lagi tak pulangkan macam bapa dia punya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan, layanan buruk yang diberikan terhadap empat bekas ADUN Melaka itu tidak wajar dan seolah-olah mereka musuh negara.

“Saya harap juga Ketua Setiausaha Negara (KSN) dapat arahan-arahan di peringkat negeri ini supaya tiada arahan-arahan yang membuli dan menghukum dan tidak bertindak secara adil terutamanya kepada bekas Exco dan wakil rakyat.

“Mereka sekarang ibarat enemy of the state. Keadilan berpegang kepada prinsip Keadilan dan kalau pembubaran itu berlaku, maka sewajarnya tidak ada lagi mana-mana wakil rakyat atau Exco yang terus menggunakan kemudahan kerajaan.

“Janganlah layan bekas wakil rakyat ini sebagai musuh negara, kerana kita tahu ini merupakan prinsip manusiawi dan kita harus ikut, hormat dan janganlah anggap mereka ini tiada jasa lagi kepada Kerajaan Negeri Melaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette