Barisan kepimpinan parti BERJASA yang diketuai presidennya, Zamani Ibrahim (tengah).

SHAH ALAM – Parti Berjasa tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan jajaran ketiga bersama parti politik dan NGO sekiranya Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak berubah dari dasarnya.

Presidennya, Zamani Ibrahim menegaskan, parti itu lebih kepada matlamat dan perjuangannya membawa agenda negara, agama dan bangsa ke arah lebih baik di samping memberi peluang kepada muka baharu untuk memimpin.

Ketika ini, kata beliau, parti itu sudah mula mengadakan perbincangan dengan rakan NGO untuk menjayakan agenda bersama.

“Kita telah mulakan perbincangan dengan rakan NGO dan parti kecil sebagai gambaran serta isyarat kepada parti lama. Kami akan membangun dalam jajaran ketiga jika agenda parti lama masih tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmi penubuhan 20 cawangan Parlimen Shah Alam dan melancarkan Kelab Bola Sepak FC Berjasa Selangor di Ara Event Hall hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Berjasa, Abdul Samad Ashaari.

Ditanya pendirian Berjasa, sama ada akan bergabung dengan BN, PN atau PH, Zamani berkata, keputusan parti itu sehingga kini ialah berkawan dengan semua parti yang mempunyai agenda sama iaitu membangunkan negara.

Presiden BERJASA Malaysia, Zamani Ibrahim bercakap kepada sidang media mengenai penubuhan 20 cawangan Parlimen dan pendirian parti mengenai PRN Melaka di Ara Event Hall, Shah Alam, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 10 OKTOBER 2021.

“Siapa sahaja yang sudi untuk membina sebuah negara, memberikan muka baharu dalam melahirkan kepimpinan yang segar, berwibawa dan berani dengan agenda itu, kita akan bersedia bekerjasama.

“Kita bukan memilih tetapi kita mahu melihat negara ini membangun dengan cemerlang, tanpa lagi ada krisis politik yang memalukan kita pada kaca mata negara jiran dan dunia khususnya.

“Jika UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas bersedia dengan perjuangan serta matlamat kita, silakan tetapi, kalau mereka tidak mampu, masih memberikan muka lama memimpin dan tidak ada motivasi, maka kita bersedia menjadi jajaran ketiga,” katanya.

Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka minggu lalu, beliau berkata, pada dasarnya, Berjasa tidak bersetuju dengan tindakan yang dibuat oleh beberapa individu yang menyebabkan berlakunya situasi itu.

Menurut Zamani, asasnya sekarang keadaan sekarang masih tidak mengizinkan untuk kerajaan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana penularan Covid-19 masih berlaku.

Untuk itu, kata beliau, PRN tidak sesuai dan kerajaan perlu mengutamakan keselamatan serta kesihatan rakyat.

“Kita telah menyatakan tidak bersetuju diadakan PRN dan kita dalam masa terdekat ini akan tulis satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong dengan kuasa baginda supaya menangguhkan pilihan raya itu.

“Kalau berlaku juga PRN, Berjasa mengambil sikap dan tunggu kepada keadaan, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyuarakan yang sama dengan Berjasa, iaitu menangguhkan,” katanya.

Ditanya sasaran Berjasa untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), Zamani berkata, parti itu berhasrat bertanding di 46 kerusi Parlimen dan 29 kerusi DUN.

“Itu berdasarkan kajian yang telah kita buat, tempat yang kita turun dan pandangan jentera. Itulah angka yang kita hasratkan untuk bertanding PRU-15,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast