Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah pasukan khas siasatan ke atas bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung bukunya, My Story: Justice in the Wilderness.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, pasukan itu yang hanya akan membuat kajian awal terhadap Tommy, sebelum sebarang tindakan diambil terhadapnya sebagai membuang masa.

“Isunya, kenapa tidak dibiarkan siasatan khas dibuat oleh polis kerana laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa itu dan kenapa tidak tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ada undang-undang tubuhnya?

“Kalau sekadar untuk buat kajian, Peguam Negara pun boleh buat dan berikan nasihat kepada Jemaah Menteri.

“Sepatutnya, apabila sudah ada laporan polis, biarlah polis yang menjalankan siasatan, bukan tubuhkan pasukan yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri menyatakan persetujuan kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal terhadap dakwaan Tommy menerusi bukunya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pasukan petugas itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara pula bertindak sebagai urusetia.

Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan itu antara lain bertujuan menyiasat dakwaan Tommy mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

Dalam pada itu, Jemaah Menteri juga bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen bersesuaian berhubung semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Mengulas lanjut, Dr. Ibrahim berkata, keputusan kerajaan itu akan hanya memberi implikasi mengenai kewibawaan institusi polis dan Peguam Negara sehingga perlu menubuhkan pasukan khas.

Beliau turut mempersoalkan, apa asas undang-undang dan kuasa untuk pasukan itu melakukan siasatan kerana dari segi perundangan, hanya polis yang mempunyai kuasa menyiasat.

“Kalau setakat nak mengkaji ada kes atau tidak, polis atau Jabatan Peguam Negara pun boleh siasat tanpa perlu tubuhkan pasukan penyiasat khas yang tiada kuasa untuk memanggil, merakamkan percakapan atau mendapatkan dokumen yang diperlukan dan sebagainya,” kata beliau. – MalaysiaGazette