Erra Fazira pernah dua kali gagal dalam perkahwinan.

KUALA LUMPUR – Primadona filem Melayu, Erra Fazira tampil menjawab dakwaan netizen di media sosial yang mengatakan dia sudah bergelar isteri kedua kepada seorang menteri Kabinet.

Menerusi hantaran di Instagramnya beberapa jam lalu, Erra, 47, enggan mengambil kisah mengenai gosip yang mula diperkatakan sejak semalam.

“Apa, tak habis-habis cerita tentang kahwin ini?

“Apa pun, manusia memang suka bercakap, jadi biarkan sahaja mereka berseronok,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sementara itu dalam kenyataan yang dikongsikan kepada media, Erra mengesahkan dia masih bergelar ibu tunggal.

“Ya, yang pasti saya masih ibu tunggal. Kalau tak faham juga, tak tahu nak cakap apa.

“Sudah sudahlah mainkan cerita fasal status saya. Saya bukan muda lagi nak dibentangkan kisah kahwin dan cinta tak kesampaian. Apa kata berikan perhatian kisah sebegitu dekat artis berpangkat adik lain.

“Lebih manis dan orang tak jelak. Untuk saya andai ada jodoh di hari muka, tolong doakan yang terbaik dan moga berkekalan hingga ke jannah,” katanya.

Nama Erra kembali menjadi sebutan di media sosial sejak semalam selepas terdapat khabar angin dia telah kembali menjadi isteri.

Bagaimanapun menerusi perkongsian seorang netizen di Twitter, Erra dikatakan menjadi isteri kedua kepada seorang ahli politik terkenal.

Namun netizen itu mempersoalkan sama ada isteri pertama kepada ahli politik tersebut tahu tentang perkara itu atau tidak.

Erra pernah berkahwin dengan pelakon dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berpisah pada 2006. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 namun disahkan bercerai pada 2014.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya yang kini berusia 12 tahun.

Lima tahun lalu, Erra pernah mengaku menjalin hubungan cinta dengan bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir.

Bagaimanapun hubungan mereka terputus di tengah jalan pada 2019. – MalaysiaGazette